PEMAIN naturalisasi negara, Lee Tuck mencuri tumpuan peminat bola sepak tanah air apabila memuat naik beberapa keping gambar memaparkannya menjuarai acara sukan lasak.
Menurut perkongsian terbabit, bekas tonggak Kedah Darul Aman (KDA) FC itu kelihatan berdiri di atas podium dalam saingan Kejuaraan Velites Hyrox Barcelona 2023 yang diadakan di Barcelona, Sepanyol.
Pencapaian tersebut diraih selepas dia mencatatkan masa 57 minit sembilan saat dengan pencabar terdekat dari Perancis, Fry Thomas yang memiliki perbezaan 27 saat.
Lee Tuck dilihat sebagai warganegara United Kingdom ketika menyertai Kejuaraan Hyrox.
Namun, perkongsiannya itu menimbulkan pelbagai persoalan apabila Lee Tuck yang menyertai pertandingan berkenaan adalah sebagai seorang warganegara Britain.
Tampil mengulas perkara tersebut, penganalisis sukan, Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim berpandangan bahawa isu tersebut tidak boleh dipandang ringan berikutan melibatkan kerakyatan Malaysia.
"Mengenai kejuaraan itu saya tak pasti sebab setakat ni belum ada maklumat.
"Tapi sekiranya betul apa yang dilaporkan itu, saya fikir kita tarik baliklah kerakyatan Malaysia daripada dia," katanya kepada Majoriti.
Tambahnya lagi, melihat kepada komen-komen di laman media sosial, Zulakbal beranggapan bahawa pihak berkuasa memainkan peranan penting dalam menangani isu tersebut.
"Tak sepatutnya berlaku, tak layak, mana ada orang ada dua kerakyatan.
"Kalau macam itu, saya fikir pihak berkuasa yang memberikan status kewarganegaraan itu patut panggil dia dan tarik balik kerakyatan dia.
"Patut panggil dan siasat dialah. Jangan ingat kerakyatan negara kita ni murah saja," jelasnya.
Lee Tuck menjuarai pertandingan Hyrox bagi kategori umur 35 hingga 39 tahun.
Di samping itu, Zulakbal turut berpandangan bahawa sekiranya kerakyatan Lee Tuck ditarik balik, ia akan memberi peluang kepada pemain-pemain import yang kini beraksi di Liga Malaysia untuk mendapatkan kewarganegaraan.
"Tarik balik saja kerakyatan dia,ramai lagi pemain yang nak main untuk Malaysia," ujarnya.
Untuk rekod, pemain berusia 35 tahun tersebut sudah diberikan status naturalisasi pada 2022 sekali gus menyaksikan Lee Tuck juga bergelar rakyat Malaysia.
Status terbabit diberikan selepas Lee Tuck memenuhi ciri-ciri ditetapkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang bermastautin dalam negara melebihi lima tahun. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram