Dion Cools tidak rela gawang Harimau Malaya dirobek Taiwan


  • Podium
  • Sabtu, 18 Nov 2023

Sebahagian aksi sesi latihan skuad kebangsaan sebelum berlepas ke Taipei City. — Facebook/FAM

PEMAIN pertahanan Harimau Malaya, Dion Cools menjadikan insiden dibolosi tiga gol ketika bertemu Kyrgyzstan sebagai iktibar untuk menghadapi Chinese Taipei dalam perlawanan kedua Kumpulan D kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, lapor Stadium Astro.

Justeru, tonggak Buriram United itu sedar mereka perlu memperbaiki segala kelemahan di benteng akhir.

Dalam pada itu, Cools bertekad untuk memastikan gawang negara tidak dirobek ketika bertandang ke gelanggang pasukan di ranking ke-152 dunia berkenaan, Selasa depan.

"Perasaan saya bercampur-baur memandangkan kami sangat gembira mengecapi kemenangan tetapi sebagai pertahanan, sudah pasti kami tidak mahu dibolosi.

"Pada akhirnya kami meraih kemenangan walaupun dibolosi tiga kali. Kami mahu mara lebih jauh dalam kelayakan Piala Dunia.

"Sebagai bahagian pertahanan, kami perlu lebih kompak dalam segala situasi. Kami melakukan beberapa kesilapan dengan melepaskan gol mudah, mula kehilangan keyakinan.

"Pertahanan perlu kental dan kebal. Ia satu proses pembelajaran dan kami akan menimbanya melalui perlawanan," katanya.

WhatsApp Image 2023-11-18 at 20.44.00

Dion Cools (kiri) bersama rakan sepasukan dalam sesi latihan persediaan berdepan Chinese Taipei. Facebook/FAM

Tambahnya lagi, ranking tidak boleh digunakan sebagai ukuran, selepas sebelum ini skuad kebangsaan berjaya seri dengan dua pasukan berkedudukan 100 terbaik dunia iaitu Syria dan China.

"Bagi saya ranking dunia tidak menunjukkan apa-apa, kami telah kalahkan pasukan yang kedudukannya 30 lebih baik dari kami dan seri dengan pasukan berkedudukan 40 lebih baik, kita perlu hormati pasukan Taiwan, kerana mereka boleh kalahkan kita walaupun ranking kita lebih baik.

"Mereka juga akan berfikir mereka boleh kalahkan kita, jadi kita perlu hormati mereka, tetapi kita percaya kita boleh kalahkan mereka tetapi tidaklah boleh menjadi terlalu yakin,” jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram