SELEPAS penantian yang agak lama, pemain kacukan England-Malaysia, Richard Chin sah bersama Harimau Muda apabila berjaya melengkapkan dokumentasi sebelum menyertai skuad Bawah 23 tahun (B-23) negara.
Malah, menerusi satu hantaran di Facebook, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), dia juga dilihat menjalani latihan bersama skuad kendalian Juan Torres Garrido pada Jumaat.
Kebolehannya beraksi di beberapa posisi pertahanan bakal menjadi aset kepada Garrido menjelang saingan Piala Asia B-23 yang berlangsung pada tahun hadapan.
Richard menjadi pemain pertama berketurunan Malaysia beraksi dalam Liga Inggeris. — Facebook/Charlton Athletic
Dalam pada itu, menerusi perkongsian di laman X (Twitter) oleh wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, pengurus skuad B-23 negara, Datuk Seri Shahril Mokhtar turut mengakui potensi yang dimiliki oleh pemain berusia 21 tahun itu meskipun baru dua hari berlatih bersama skuad Harimau Muda.
"Baru dua hari tapi boleh nampak potensi dia besar walaupun baru berusia 21 tahun.
"Saya fikir coach Torres dan Shukor Adan ada banyak options sekarang.
"Richard boleh main wing-back dan mifdfield, jadi options kita lebih banyak, seronok kalau kita buat pilihan," katanya.
Sebelum ini kehadiran Richard ke Malaysia mendapat perhatian seluruh penyokong bola sepak yang tidak sabar untuk melihat pemain berusia 20 tahun itu menyarung jersi skuad kebangsaan.
Pastinya, pengalaman yang dimiliki Richard di England itu akan dapat membantu rakan sepasukan di Piala Asia B-23 2024 di Qatar, April tahun depan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram