KEMENANGAN Harimau Malaya ke atas Kyrgyzstan Khamis lalu dimaniskan lagi dengan perkhabaran bahawa kontrak pengendali pasukan, Kim Pan-gon akan disambung sehingga 2025.
Perkara itu disahkan sendiri Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin selepas aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.
Meskipun masih belum menjulang sebarang kejuaraan sepanjang berada di bawah bimbingannya, prestasi positif skuad kebangsaan boleh dikatakan sebagai punca di sebalik keputusan tersebut.
Sejak dilantik pada Januari 2022, Pan-gon mencatat rekod kemenangan setinggi 68 peratus dengan 17 kemenangan diraih daripada 25 perlawanan yang dibimbingnya.
Pan-gon dilantik sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan pada Januari 2022.
Rekod menakjubkan tersebut membantu Harimau Malaya mendaki 17 anak tangga untuk berada di kedudukan ke-137 dunia berbanding tangga ke-154 tahun lalu.
Jadi, tidak hairanlah apabila keputusan FAM itu diraikan peminat bola sepak tanah air yang melihat Pan-gon merupakan individu terbaik untuk membimbing Harimau Malaya.
Tidak cukup dengan itu, jurulatih dari Korea Selatan tersebut juga mempunyai karakter tersendiri di luar padang yang membuatkannya disenangi ramai pihak.
Personalitinya tersebut dapat disimpulkan menerusi empat momen yang pastinya sukar dilupakan sepanjang dua tahun keberadaannya bersama pasukan negara.
1. Terima ucapan maju jaya daripada pelakon Squid Game
Ketika Pan-gon diumumkan sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya, ramai mula membandingkannya dengan seorang pelakon berasal dari Korea Selatan, Heo Sung-tae.
Dia yang membintangi drama berjudul 'Squid Game' dikatakan mempunyai rupa seiras dengan Pan-gon sehingga hal tersebut hangat dibincangkan di media sosial.
Perkara berkenaan menjadi satu titik permulaan cukup baik buat jurulatih terbabit apabila kehadirannya mula menarik minat orang ramai.
Sung-tae memberikan ucapan maju jaya kepada Pan-gon tahun lalu.
Perbandingan berkenaan difahamkan turut mendapat perhatian pengguna media sosial di negara Asia Timur itu yang tidak terkecuali dalam membincangkan hal terbabit.
Lebih menarik lagi, Sung-tae juga dikatakan menyedari akan persamaan itu apabila dia secara terbuka memberi ucapan maju jaya terhadap Pan-gon.
Dalam satu hantaran di Instastory peribadinya, pelakon berusia 46 tahun tersebut sempat memberikan kata-kata semangat buat Harimau Malaya sambil menyertakan foto kedua-dua individu berkenaan.
2. Sertai pertandingan tarik tali anjuran FAM
Seperti dikatakan di atas, Pan-gon dikatakan mempunyai karakter cukup mencuri perhatian dengan kehadirannya cukup disenangi penyokong bola sepak tempatan.
Pandangan terbabit dibuktikan ketika bekas jurulatih Hong Kong berkenaan menyertai permainan tarik tali yang dianjurkan semasa program Hari Keluarga FAM pada November lalu.
Berdasarkan foto yang dimuat naik di laman media sosial persatuan, dia kelihatan sedang berusaha dalam permainan yang disertai kakitangan FAM.
Pan-gon (baju merah) menyertai acara tarik tali ketika Hari Terbuka FAM. — Facebook/FAM
Malah, ia turut mencuri perhatian ramai apabila Pan-gon mengenakan baju merah dan seluar hijau sambil segak memakai cermin mata hitam.
Keterbukaannya untuk menyertai acara sebegitu memberi gambaran bahawa pengendali berkenaan cukup disenangi rakan sejawatnya dan orang ramai.
Selain itu, ia juga menunjukkan bahawa Pan-gon terbuka untuk mempelajari budaya luar meskipun melaungkan masa lebih lama di rantau Asia Timur.
3. Kim Pan-gon, Ketua Polis Kuantan
Salah satu momen yang sukar dilupakan mengenai jurulatih berkenaan adalah apabila sebuah saluran televisyen terkenal tanah air melakukan kesilapan akan peranannya.
Berdasarkan berita yang disiarkan pada Mei 2022, Pan-gon yang dirakam sedang berada dalam sebuah sesi sidang media dilabel sebagai 'Ketua Polis Kuantan'.
Kesilapan menyaksikan Pan-gon dilabel sebagai Ketua Polis Kuantan berbanding pengendali Harimau Malaya.
Insiden mencuit hati berkenaan dilaporkan berlaku sebelum aksi persahabatan antarabangsa antara Harimau Malaya dan Brunei di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Gelaran tersebut dilihat terus diingati sehingga hari ini apabila peminat setia bola sepak tanah air kerap mengusiknya dengan perkara itu.
Ia bagaimanapun tidak memberi sebarang impak dengan Pan-gon hanya berdiam diri akan kesilapan yang tidak disengajakan itu.
4. 'Saya tidak ada duit untuk bayar denda'
Antara ujian terbesar yang perlu didepani Pan-gon sepanjang mengendalikan Harimau Malaya adalah pastinya ketika mereka bersaing dalam Piala AFF 2022.
Meskipun tersingkir di peringkat separuh akhir, kedudukan akhir itu boleh dianggap sebagai satu pencapaian bermakna memandangkan pelbagai isu pengadilan timbul sepanjang kejohanan.
Salah satu insiden yang melibatkan perkara itu adalah ketika pasukan negara berdepan Thailand di peringkat separuh akhir dengan aksi pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil sukar dilupakan ramai.
Pan-gon sempat berseloroh dengan petugas media selepas kemenangan ke atas Thailand. — YouTube/Harimau Malaya
Sepakan percuma Lee Tuck pada babak kedua disusuli dengan tandukan daripada Darren Lok serta beberapa pemain lain yang cuba merebut bola di udara.
Namun, pengadil perlawanan, Kim Dae-young mengambil keputusan untuk membatalkan gol berkenaan dengan alasan pemain negara mengasari penjaga gol lawan.
Pan-gon bagaimanapun enggan memberi komen lanjut mengenai situasi berkenaan dengan hanya memberi jawapan melucukan ketika sesi sidang media pasca perlawanan.
"Saya tidak ada banyak duit untuk bayar denda jadi saya tidak akan komen tentang pengadil," katanya pendek sebelum diikuti gelak tawa daripada petugas media. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram