MUSIM ini, Selangor FC memberikan kepercayaan penuh terhadap Tan Cheng Hoe sebagai ketua jurulatih setelah dia diberikan mandat tersebut pada September 2022.
Sentuhannya jelas memberikan satu nafas baharu buat kelab Lembah Klang tersebut yang kini menduduki tangga kedua Liga Super dengan hanya tiga perlawanan berbaki.
Kedudukan tersebut pastinya tidak menimbulkan sebarang keraguan memandangkan jurulatih berusia 55 tahun berkenaan memiliki pengalaman cukup mendalam sebagai seorang pengendali.
Selain pernah membimbing Kedah FA untuk beberapa musim, Cheng Hoe juga pernah membimbing skuad kebangsaan selama tiga tahun bermula pada 2018.
Pengalamannya bersama Harimau Malaya boleh dianggap sebagai satu elemen cukup berharga apabila dia cukup mahir dalam memilih kesebelasan utama terbaik.
Cheng Hoe membimbing Selangor FC selepas meninggalkan skuad kebangsaan. — Facebook/Selangor FC
Namun, Cheng Hoe bukanlah bekas jurulatih negara pertama yang pernah dirisik skuad Gergasi Merah dalam misi mereka mengembalikan semula zaman kegemilangan pasukan.
Perkara itu terjadi kira-kira sembilan tahun lalu apabila Selangor FA memasang cita-cita untuk mendapatkan khidmat Datuk Ong Kim Swee yang baru sahaja meninggalkan Harimau Muda A.
Kim Swee yang ketika itu baru sahaja berusia 44 tahun boleh diangkat sebagai antara jurulatih tempatan muda terbaik melihat kepada gaya permainan serta taktikal diterapkan.
Malah, kredibiliti pengendali kelahiran Melaka tersebut juga dapat disaksikan apabila dia membimbing skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara membawa pulang pingat emas Sukan SEA 2011 dan menjuarai Pestabola Merdeka 2013.
Pencapaian dan kebolehannya itu menyebabkan Selangor FA amat tertarik untuk melantiknya dengan mereka baru sahaja menamatkan saingan Liga Super 2014 di tangga kedua.
Keputusan mengekalkan Durakovic jelas membuahkan hasil buat skuad Gergasi Merah. — Bernama
Namun, hasrat tersebut tidak kesampaian apabila Kim Swee menolak tawaran berkenaan dengan alasan dia mahu memberi tumpuan penuh terhadap skuad B-23 untuk Sukan SEA di Singapura.
Kegagalan berkenaan mendesak skuad Gergasi Merah untuk terus mengekalkan khidmat jurulatih kelahiran Australia, Mehmet Durakovic yang diberikan peranan tersebut pada awal musim.
Ia bagaimanapun satu langkah yang tepat buat mereka apabila Durakovic berjaya membantu mereka menamatkan penantian untuk menjulang kejuaraan dengan kejayaan dalam Piala Malaysia 2015.
Bagi Kim Swee pula, dia kemudiannya memilih untuk mencurahkan bakti bersama pasukan negara, termasuk beberapa kali membimbing skuad muda kebangsaan.
Jurulatih yang kini berusia 52 tahun tersebut kini masih bergiat aktif dalam landskap bola sepak tanah air dengan dia ketika ini membimbing Sabah FC sejak diberikan tugas tersebut pada 2021. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram