Syihan, 2 tonggak negara perlu 'step up' jika mahu terus tambat hati Pan-gon


  • Podium
  • Sabtu, 18 Nov 2023

Syihan bergelut untuk membaca gerakan lawan dalam aksi pembukaan Kempen Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027. — Facebook/FAM

TIGA mata penting dikutip Harimau Malaya dalam aksi pembukaan Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Kyrgyzstan pada Khamis lalu.

Meskipun memulakan perlawanan dengan cukup baik menerusi jaringan Dion Cools, kealpaan benteng pertahanan negara menyaksikan skuad kendalian Kim Pan-gon ketinggalan 1-3 pada babak kedua permainan.

Namun, kebangkitan yang direncanakan pemain sayap muda, Arif Aiman Hanapi jelas membuahkan hasil apabila skuad kebangsaan meraih kemenangan.

Gol sendiri Khristiyan Brauzman pada minit ke-72 disusuli jaringan kedua Dion Cools yang kembali mengikat semula kedudukan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Kebangkitan bersejarah tersebut disempurnakan dengan gol lewat daripada Faisal Halim pada masa kecederaan yang tenang menyempurnakan umpanan daripada Arif Aiman.

400694773_1045383276534908_2063158195254929185_n

Pasukan negara mempamerkan kebangkitan bergaya untuk menumpaskan Kyrgyzstan. Facebook/FAM

Kejayaan berkenaan jelas diraikan lebih 17,000 penyokong yang berada dalam stadium dengan mata dikumpul memberi kelebihan buat Harimau Malaya dalam kempen kelayakan terbabit.

Namun, di sebalik kemenangan terbabit, masih terdapat desakan yang timbul bahawa beberapa pemain diturunkan perlu menambah baik persembahan masing-masing selepas ini.

Berdasarkan ciapan peminat bola sepak negara, Piang Shankly, mereka yang dimaksudkan ialah Shahrul Saad, Brendan Gan serta penjaga gol, Syihan Hazmi.

"Ketika Harimau Malaya bertukar ke mod serangan selepas ketinggalan 1-3, Pan-gon membuat perjudian dengan hanya mengekalkan seorang bek tengah yang memulakan permainan.

"Hasilnya lumayan. Pertahankan kepimpinan Kim Pan-gon! Syihan, Badak (Shahrul) dan Brendan kena tingkatkan lagi, Main di bawah par masing-masing," tulisnya.

Dalam aksi terbabit, Pan-gon memilih untuk menggunakan formasi 5-3-2 dengan Shahrul digandingkan dengan Dion Cools serta Dominic Tan.

402463468_1044775469929022_6405342370100178407_n

Brendan (kiri) bergelut untuk menampilkan aksi terbaik ketika berdepan Kyrgyzstan. Facebook/FAM

Pendekatan berkenaan dilihat kurang memberi impak seperti mana diharapkan apabila Harimau Malaya dibolosi sebanyak tiga kali dengan Kyrgyzstan bijak mencuri peluang.

Sementara itu, di posisi tengah pula menyaksikan jurulatih kelahiran Korea Selatan tersebut menggandingkan Brendan dengan Stuart Wilkin untuk memberi keseimbangan dari segi serangan dan pertahanan.

Persembahan kurang meyakinkan itu menyaksikan Brendan dan Shahrul dikeluarkan dengan Pan-gon memilih untuk membawa masuk Paulo Josue dan Akhyar Rashid.

Keputusan terbabit jelas memberikan kesan positif buat Harimau Malaya yang mempamerkan kebangkitan bergaya dengan tiga mata dikutip meletakkan mereka di tangga kedua Kumpulan D.

Selepas ini, pasukan negara bakal berdepan Chinese Taipei di Stadium Perbandaran Taipei, Taiwan pada Selasa dalam misi meneruskan prestasi cemerlang dalam kempen kelayakan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram