Selain Brendan Gan, seorang lagi bintang Sabah patut direhatkan masa HM lawan Taiwan


  • Podium
  • Sabtu, 18 Nov 2023

Barisan pemain Harimau Malaya ketika meraikan kemenangan 4-3 berdepan Republik Krgyz pada Khamis. — Facebook/FAM

LANGKAH kanan yang diperoleh skuad Malaysia ketika mengatasi Republik Krgyz 4-3 memberikan permulaan baik dalam kelayakan Piala Dunia 2026-Piala Asia 2027.

Kemenangan dramatik itu disaksikan oleh lebih 17,000 penyokong tanah air yang tidak henti-henti memberikan sokongan dan sorakan kepada barisan pemain kebangsaan.

Meskipun ketinggalan 1-2 pada babak pertama, hasil kerja keras setiap pemain dan sokongan daripada ekor Harimau Malaya membuahkan hasil apabila pasukan kebangsaan berjaya bangkit sehingga meraih tiga mata penting dengan keputusan penuh 4-3.

Melihat kepada persembahan pemain Harimau Malaya dalam aksi tersebut, ramai penyokong memuji pemain muda Johor Darul Takzim (JDT), Arif Aiman Hanapi; tonggak pertahanan tengah kebangsaan, Dion Cools; pemain lincah Selangor FC, Faisal Halim dan kapten skuad kebangsaan, Matthew Davies.

Dominic

Sebahagian aksi Dominic (kanan) ketika mempertahankan benteng pertahanan skuad kebangsaan. — Facebook/FAM

Meskipun anak buah kendalian Kim Pan-gon sudah cukup menampilkan aksi memukau, sesetengah penyokong tanah air bagaimanapun tetap tidak berpuas hati dengan persembahan yang ditampilkan oleh pemain pertahanan kental Sabah FC, Dominic Tan selepas dia menerima kritikan teruk pada final Pestabola Merdeka bulan lalu.

Malah, tonggak tengah Selangor FC, Brendan Gan turut menjadi bahan kecaman peminat bola sepak tempatan berikutan dilihat gagal menguasai bahagian tengah dengan baik sekali gus menyebabkan gawang Harimau Malaya dibolosi sebanyak tiga kali.

Dalam pada itu, rata-rata penyokong berharap agar tonggak tengah dan pemain pertahanan kebangsaan itu tidak diturunkan ketika aksi berdepan Chinese Taipei nanti.

"Dominic tu tengah bercuti ke apa? Santai semacam je macam nak pergi holiday, tak sesuai diturunkan next match" kata Saiful Firdaus.

"Next match Brendan Gan sudah boleh keluar, tak berfungsi langsung," kata Razid Hadi.

"Brendan Gan dan Dominic Tan boleh sudah out, hancur pertahanan negara, tak fokus," kata Mohamad Amirul Asraff.

Selepas ini, Harimau Malaya akan bertemu Chinese Taipei pada 21 November nanti di tempat lawan.

Kemenangan Malaysia itu meletakkan mereka di tangga kedua carta kumpulan D selepas Oman menang 3-0 ke atas Chinese Taipei. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram