Sokongan tak putus suami bantu Aminah terus fokus bersama Terengganu Marvels, NSL


  • Podium
  • Ahad, 19 Nov 2023

Pengalaman Aminah cukup penting untuk dalam membantu Terengganu Marvels menduduki tangga kelima pusingan kumpulan NSL 2023. — Facebook/Min Ahmad

BUKANLAH sesuatu yang mudah bagi mana-mana atlet, terutamanya dalam kalangan wanita untuk terus berkecimpung dalam sukan pilihan selepas mendirikan keluarga.

Selain perlu menjaga kebajikan anak-anak, terdapat juga kemungkinan mereka dihalang daripada meneruskan karier apabila tidak mendapat dorongan daripada yang tersayang.

Namun, bagi kapten pasukan bola keranjang Terengganu Marvels, Siti Aminah Ahmad, sokongan penuh diberikan suaminya memberi ruang untuknya terus berjuang dalam sukan yang diceburinya sejak berada di bangku persekolahan.

Meskipun kini memiliki dua cahaya mata, atlet berusia 29 tahun itu mengakui sikap tolak ansur dalam menguruskan keluarga membolehkannya terus bergiat aktif.

"Satu cabaran besar di mana saya perlu kuat dari segi mental dan fizikal. Suami sangat menyokong kerana apabila saya tidak sempat menguruskan anak, dia akan uruskan," katanya kepada Majoriti.

342246425_747201930471529_1953785832550025557_n

Aminah dikurniakan dua cahaya mata bersama suaminya. Facebook/Min Ahmad

Di samping beraksi secara profesional dalam saingan Liga Super Bola Keranjang (NSL) 2023, Siti Aminah juga bekerja di Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Jadi, tidak hairanlah apabila dia pernah beraksi bersama Selangor Angels musim lalu sebelum memilih untuk kembali beraksi buat negeri kelahirannya kali ini.

Ia pastinya menjadi cabaran cukup besar buatnya memandangkan sandaran hebat diletakkan pasukan di bahunya memandangkan dia memikul peranan sebagai goal attack (GA).

Selain itu, anak jati Terengganu tersebut juga mempunyai tanggungjawab sebagai kapten setelah beberapa tahun menceburkan diri dalam sukan bola keranjang.

Bagaimanapun, kehadiran seorang lagi pemain berpengalaman, Noramirah Dayana sebagai naib kapten banyak mengurangkan beban yang dipikul Aminah.

"Kami ramai pemain muda yang masih mencari pengalaman, kami sentiasa berbincang dan sentiasa sokong antara satu sama lain dengan Noramirah banyak membantu kerana dia pemain kebangsaan berpengalaman," katanya lagi.

394802529_18391612657017997_1977959121061837286_n

Terengganu Marvels menamatkan peringkat kumpulan NSL 2023 di tangga kelima. Facebook/Min Ahmad

Musim ini, Terengganu Marvels yang dikendalikan ketua jurulatih, Farhana Mustafa menamatkan saingan peringkat kumpulan di tangga kelima dengan hanya sembilan mata daripada tujuh perlawanan.

Ia merupakan satu pencapaian cukup membanggakan buat pasukan Pantai Timur berkenaan memandangkan ia adalah penampilan pertama mereka dalam saingan NSL.

Bagaimanapun, edudukan itu menyekat peluang mereka untuk mara ke peringkat seterusnya memandangkan hanya empat pasukan teratas berpeluang mara ke pusingan kalah mati.

Jadi, bagi Aminah, sasaran lebih tinggi diletakkan pada musim akan datang dalam usaha mereka membuktikan kebolehan di mata peminat sukan bola keranjang tanah air.

"Saya harap Terengganu Marvels akan lebih bersemangat, membuat persiapan lebih awal dan memasang cita-cita untuk berjuang bagi menamatkan saingan kumpulan dalam kelompok tiga teratas," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram