SAINGAN Netball Super League (NSL) 2023 menyaksikan lapan buah pasukan iaitu Johor Jewels, KL Wildcats, Selangor Angels, Perak Pheonix, Negeri Sembilan Venom, Pahang Tulips termasuk dua pasukan baharu, Terengganu Marvel dan Putrajaya Dynamites akan bertanding memburu mahkota kejuaraan.
Kejohanan berprestij itu sudah membuka tirai perlawanan dengan pertemuan antara juara bertahan, Johor Jewels dan pemenang edisi 2021, Kuala Lumpur (KL) Wildcats dengan keputusan 45-43 memihak kepada pasukan dari Selatan tanah air itu.
Aksi Johor Jewels menentang KL Wildcats. — Facebook/NSL
Menarik mengenai perlawanan musim ini, NSL dimeriahkan dengan kehadiran seramai 11 import baharu dengan latar belakang sebahagian daripada mereka mempunyai pengalaman beraksi di kejohanan Piala Dunia bola jaring.
Tonggak pertahanan import KL Wildcats, Shaffie Nalwanja antara pemain yang pernah beraksi di kejohanan Piala Dunia dan menurutnya pengalaman bersama Uganda itu akan digunakan sebaiknya untuk membantu pasukannya kembali merampas takhta daripada Johor.
Pemain berusia 25 tahun itu menyedari kekuatan yang dimiliki skuad Jewels namun Nalwanja optimis mampu memberi saingan kepada juara bertahan dan ia dibuktikan apabila KL Wildcats menang tipis dengan dibezakan dua mata sahaja pada aksi pembukaan.
Nalwanja mempunyai pengalaman beraksi di Liga Uganda.
"Semestinya kami berhasrat untuk menang lagi sebab itu kami bawa masuk pertahanan dan shooter (Nassanga Shadiah) untuk bantu rampas takhta. Saya percaya kami akan jadi kombinasi terbaik untuk pasukan.
"Saya ada buat research, kami tahu Johor adalah pemenang pada musim lepas. Tapi kami akan bantu dan percaya dapat kalahkan Johor pada musim ini," kata pemain yang pernah beraksi bersama kelab Uganda, She Cranes itu kepada Majoriti.
Sementara itu, seorang lagi rakan senegaranya iaitu Christine Namulumba Kango hadir dengan reputasi tersendiri iaitu pernah menjadi penjaring terbanyak Liga Uganda dengan merekodkan sebanyak 791 gol dalam 20 perlawanan musim lalu.
Christine Namulumba yang menandatangani kontrak selama setahun bersama Perak Phoenix percaya bahawa dia mampu membantu kelab Utara tanah air itu untuk mendapat gelaran juara NSL untuk pertama kali pada musim ini.
Christine Namulumba merekodkan 791 dalam 20 perlawanan musim lalu bersama pasukan Prisons.
"Sasaran saya untuk musim ini, saya akan buat Perak menang NSL sebab di mana pun saya berada, saya sentiasa dapatkan kemenangan seperti dengan kelab sebelum ini. Saya yakin saya adalah pemain terbaik di liga ini.
"Di Uganda memang perlawanan yang kompetitif dan kami memang beraksi dalam liga yang kompetitif. Jadi saya rasa dapat kongsi pengalaman saya dengan pemain lain sepanjang berada di sini," tambahnya.
Cerita mengenai pengalaman sepanjang beberapa minggu bersama skuad Phoenix, pemain berusia 23 tahun itu gembira kerana mudah untuk menyesuaikan diri dan menikmati sesi latihan bersama rakan sepasukan lain.
Untuk rekod, penjaring Phoenix baharu itu juga merupakan atlet bola keranjang bersama kelab Uganda, JKL Dolphins pada musim 2022. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram