KEJOHANAN berprestij bola jaring tanah air, Netball Super League (NSL 2023) yang memasuki musim ketiganya kembali membuka tirai perlawanan di Stadium Juara, Kuala Lumpur bermula 13 Oktober hingga 5 November nanti.
Saingan selama empat minggu nanti menyaksikan lapan pasukan iaitu Johor Jewels, Kuala Lumpur (KL) Wildcats, Selangor Angels, Perak Phoenix, Negeri Sembilan Venom, Pahang Tulips serta dua pasukan baharu, Terengganu Marvel dan Putrajaya Dynamite akan turun memburu mahkota kejuaraan.
Jika diimbau kembali saingan musim lepas, pasukan bola jaring Johor membuktikan mereka sebagai kuasa baharu arena sukan tersebut apabila menjuarai NSL 2022 selepas menewaskan juara 2021, KL Wildcats 50-40 di Stadium Juara, Bukit Kiara.
Johor Jewels bagaimanapun enggan memandang rendah kebolehan pasukan lain, sebaliknya pasukan dari Selatan tanah air itu menghormati semua lawan dan menganggap masing-masing mempunyai kekuatan tersendiri.
Ketua pasukan Johor Jewels, Syafazliana Mohd Ali mengakui bahawa kehadiran beberapa import baharu sedikit sebanyak memberi kekuatan untuk pasukan lain namun ia bukan penghalang untuk mereka tampil lebih berbeza.
Syafazliana mula menyarung jersi Jewels pada musim 2022.
"Kami hormat semua pasukan dan kita tahu masing-masing ada kekuatan sendiri tetapi bagi kami hanya fokus kepada pasukan kami sahaja dan sentiasa berikan yang terbaik dalam setiap perlawanan.
"Bagi saya tahun ini mencabar sebab banyak pasukan yang dah ada pemain import. Tapi kami yakin untuk musim ini kerana kami bermain sebagai satu pasukan. Dalam court connection antara pemain yang penting," katanya ketika ditemui Majoriti pada majlis pelancaran NSL musim 2023 di ibu negara pada Isnin.
Musim ini, skuad Jewels tampil dengan sentuhan istimewa apabila mereka melantik bekas jurulatih negara, Tracie Robinson yang pernah memenangi pingat emas ketika Sukan SEA 2019 sebagai jurulatih baharu Johor Jewels.
Justeru, Syafazliana yang juga pemain kebangsaan gembira dengan kehadiran bekas jurulatih negara itu dan meyakini bahawa dengan pengalaman Tracie bersama skuad kebangsaan mampu memberi kelainan kepada Jewels musim ini.
Jewels akan membuka tirai perlawanan dengan menentang naib juara, KL Wildcats pada 13 Oktober ini.
Lailatulladhawiyah atau mesra disapa Laila berhijrah dari Negeri Sembilan Venom ke Pahang untuk musim ini.
Sementara itu, bagi skuad bola jaring Pahang Tulips pula optimis bahawa mereka mampu memberi saingan sengit walaupun menjadi salah satu pasukan yang tidak menampilkan pemain import pada musim ketiga NSL.
Kapten pasukannya, Nur Lailatulladhawiyah Che Yahya berkata, ukuran fizikal tonggak import mungkin membezakan mereka dengan pemain tempatan namun kreativiti pasukan boleh menjadi senjata rahsia mendapatkan mata.
"Dalam netball tak nafikan fizikal penting tapi tengok berdasarkan posisi jika dia shooter atau defender mungkin insecure dengan mereka. Kalau setakat tinggi tapi penyudah tak masuk susah juga. Kami kena guna kreativiti untuk halang mereka.
"Kita cuba ambil positif dengan ketiadaan pemain import boleh ajar barisan pemain Tulip untuk tidak mempunyai rasa takut dengan pemain luar. Kita tunjukkan yang tiada import boleh menang," tambahnya yang kini bersedia untuk memulakan saingan bertemu Selangor Angels pada 14 Oktober.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram