Mana nak cari sasaran 12 mata Pan-gon? Paling penting Harimau Malaya wajib menang semua aksi di SNBJ


  • Podium
  • Sabtu, 18 Nov 2023

Malaysia menang tipis ke atas Republik Krgyz pada perlawanan pertama kelayakan Piala Dunia. — Facebook/FAM

SKUAD bola sepak Malaysia kendalian Kim Pan-gon memulakan perjalanan kempen kelayakan Piala Dunia 2026-Piala Asia 2027 dengan langkah kanan apabila menewaskan Republik Krgyz 4-3.

Kemenangan dramatik di Stadium Nasional Bukit Jalil itu telah membuatkan Malaysia berada dalam keadaan baik untuk meraih satu lagi kemenangan apabila bertemu Chinese Taipei pada 21 November kelak.

Kejayaan menewaskan Republik Krgyz ini bagaikan langkah kanan rentetan sebelum kempen kelayakan bermula, Pan-gon tersebut mengatakan sasaran 12 mata diletakkan untuk membolehkan Malaysia mara ke pusingan ketiga kelayakan.

Adakah ia realistik? Analisis ringkas Majoriti akan melihat bagaimana Pan-gon hendak mencapai sasaran tersebut.

Pastikan rekod SNBJ kebal

Jika dilihat kepada sasaran Pan-gon, daripada enam perlawanan kelayakan, Malaysia harus menang empat kali untuk meraih tiga mata.

Dengan beraksi di Bukit Jalil sebanyak tiga kali, Pan-gon perlu pastikan kemenangan bersih di laman sendiri berjaya dicatatkan.

401442743_1045332159873353_5803421372073543995_n

Kemenangan dramatik ke atas Republik Krgyz memberikan kelebihan buat Malaysia. — Facebook/FAM

Halangan pertama bertemu Republik Krgyz sudah berjaya ditempuh, kini menantikan saja kehadiran Chinese Taipei dan Oman pula untuk 'dibaham' di Bukit Jalil.

Ini adalah misi yang tak boleh gagal oleh Pan-gon dan Malaysia. Tercicir satu mata di tempat sendiri maka sukarlah tugas Malaysia.

All-out bertemu Oman

Tugas paling sukar untuk Harimau Malaya adalah bertemu Oman yang merupakan pasukan pilihan untuk menjadi juara kumpulan.

Memandangkan Malaysia wajib menang kesemua perlawanan di Bukit Jalil bagi memastikan sasaran 12 mata berjaya diraih, Pan-gon mesti arahkan para pemainnya bermain bermati-matian apabila bertemu Oman.

Oman-v-Chinese-Taipei-(2)

Oman menang 3-0 ke atas Chinese Taipei. — AFC

Mereka perlu all-out dan semangat juangan tinggi perlu ditonjolkan seperti bertemu Republik Krgyz harus ditunjukkan ketika menentang Oman juga supaya tiga mata dalam genggaman.

Pada waktu ini, bantuan ekor Harimau Malaya amat diperlukan bagi memastikan misi ini berjaya.

Baki 3 mata nak cari mana?

Jika berjaya menang semua perlawanan di Bukit Jalil, Malaysia baru ada sembilan mata. Untuk genapkan 12 mata, baki tiga mata lagi nak cari mana?

Ini adalah situasi yang menguji Pan-gon. Untuk menang di Oman mungkin sukar, begitu juga apabila bertemu Republik Krgyz di laman mereka.

400596188_1045332349873334_4793312533088261836_n

Arif Aiman boleh pacu Malaysia ke Piala Dunia. — Facebook/FAM

Ia membuatkan Chinese Taipei sahaja pilihan realistik untuk Malaysia mendapatkan tiga mata di tempat lawan. Jika berjaya menang pada 21 November ini, peluang untuk mara ke pusingan ketiga semakin cerah.

Yang pasti, para pemain tidak boleh terlalu yakin. Jika terlalu yakin, itu boleh memakan diri mereka sendiri dan kemudiannya terpaksa meratapi kekalahan.

Sasaran 12 mata itu adalah realistik untuk Malaysia kecapi tetapi ia memerlukan persembahan cemerlang setiap kali pemain turun beraksi.

Ayuh jadikan ia realiti dan jadikan Malaysia sebahagian daripada 18 pasukan terbaik Asia seperti sasaran ditetapkan oleh Pan-gon! — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram