TIDAK cukup dengan saingan domestik di setiap negara serta kejohanan anjuran AFC, kelab-kelab Asia Tenggara bakal berdepan satu lagi pertandingan baharu.
Pertandingan yang dimaksudkan adalah Kejohanan Kelab-Kelab Asean atau ACC anjuran Persatuan Bola Sepak Asean (AFF).
Kejohanan yang dihidupkan semula sejak kali terakhir diadakan pada 2005 bakal menyaksikan kelab-kelab Asia Tenggara bakal beraksi sesama sendiri untuk merebut kejuaraan peringkat serantau.
Malaysia dijangka diberikan dua slot atas faktor antara negara ulung dalam bola sepak Asean. Tetapi, bagaimana Malaysian Football League (MFL) hendak mengagihkan slot tersebut?
Kita andaikan MFL mempunyai dua pilihan untuk pembahagian slot. Pilihan A slot akan diberi kepada pasukan tempat ketiga Liga Super dan Piala Malaysia. Pilihan B pula adalah slot diberikan kepada pemenang Piala FA dan Piala Malaysia.
Kalau ikut dua pilihan ini, siapakah yang akan layak ke ACC? Ini adalah tiga pasukan Liga Super yang berpotensi untuk layak ke ACC mewakili Malaysia:
1. Kedah Darul Aman FC
KDA merupakan pasukan berpotensi untuk layak ke ACC seandainya MFL memilih untuk memberikan slot itu kepada pasukan tempat ketiga Liga Super.
Berpengalaman beraksi dalam kejohanan Asia sebelum ini, KDA pastinya tiada masalah untuk beraksi di ACC malah untuk mara jauh dalam kejohanan ini.
Ifedayo boleh bawa KDA ke ACC. — Facebook/Kedah Darul Aman FC
Ini mungkin adalah hadiah sagu hati terbaik buat KDA jika mereka menamatkan saingan liga ditangga ketiga kerana musim ini hanya ada dua slot sahaja untuk wakil Malaysia ke kejohanan Asia.
Jika dapat ke ACC, sekurang-kurangnya penyokong KDA akan tidak terlalu kecewa dengan pasukan mereka musim ini.
2. Kuala Lumpur City FC
Jika MFL memilih untuk memberikan slot kepada pemenang-pemenang piala. KL City boleh mendapat manfaat daripada situasi ini.
Hal ini kerana, KL City merupakan pasukan yang menamatkan saingan Piala FA musim ini sebagai naib juara.
KL City boleh mara ke ACC dengan tiket Piala FA. — Facebook/KL City
Dengan status pemenang Piala FA Johor Darul Takzim (JDT) sebagai juara Liga Super, semestinya slot itu akan diturunkan kepada naib juara kejohanan itu. Oleh itu, KL City yang akan menerima slot tersebut.
Sebagai naib juara Piala AFC, KL City juga dilihat tidak ada masalah untuk bertarung dengan baik dalam ACC.
3. Terengganu FC
Terengganu berpotensi untuk menikmati peluang untuk layak ke ACC jika mereka berjaya menenangi Piala Malaysia musim ini.
Ia mungkin tugas sukar kerana mereka akan berdepan dengan JDT sebagai calon pilihan. Namun, selagi bola belum disepak, kita tidak mengetahui keputusannya.
Terengganu turut boleh wakili negara di ACC. — Facebook/Terengganu FC
Namun begitu, seandainya Terengganu kalah pada perlawanan akhir, mereka masih mampu untuk layak menyertai ACC.
Hal ini kerana, JDT akan menggunakan slot sebagai juara liga untuk beraksi di Liga Juara-Juara AFC dan tempat ACC itu akan turun kepada Terengganu.
Walaupun belum ada ketentuan daripada pihak MFL mengenai slot ACC melibatkan pasukan-pasukan dari Malaysia. Tetapi, tiga kelab ini berpotensi untuk mengisi slot tersebut berdasarkan merit mereka. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram