SELAMA ini, kewujudan permainan video tidak lain hanya sekadar untuk membantu kita semua mengisi masa lapang. Dengan adanya permainan video, kita dapat larikan diri daripada masalah kehidupan untuk seketika.
Namun begitu, kewujudan permainan video sudah semakin berkembang dan kini ia menjadi industri. Industri yang dikenali sebagai e-sukan telah membuatkan ramai pihak terjun ke dalamnya untuk mencari rezeki.
Tidak lagi dianggap sebagai sekadar pelepas bosan, dengan permainan video sahaja sudah boleh membuatkan seseorang itu menjana pendapatan hingga tidak perlu ada kerja hakiki.
Memperkenalkan Tom Kelsey, seorang pemuda dari England yang kini bermain permainan video Football Manager (FM) secara sepenuh masa.
Kelsey, 26, kini menjadikan FM sebagai mata pencariannya dengan bermain permainan itu secara purata 60 jam seminggu.
Dia akan bermain permainan tersebut dan kemudiannya berkongsi perjalannya menerusi saluran YouTube miliknya yang kini sudah mempunyai lebih daripada 100,000 subscribers.
"Apabila saluran YouTube saya mula menjadi semakin popular dan lebih ramai orang menontonnya, saya mula mendapat wang daripada siaran iklan.
"Ia kemudiannya mula menjadi idea yang saya boleh jadikan ia sebagai kerjaya satu hari nanti," kata Kelsey.
Disebabkan kejayaan bermain FM secara sepenuh masa, Kelsey memilih untuk meletakkan jawatannya sebagai pegawai daerah di Lincolnshire, England. Keputusan itu adalah yang terbaik dia lakukan.
Hal ini kerana, pendapatan diraihnya dengan bermain FM adalah jauh lebih dengan daripada gajinya ketika menjadi pegawai daerah.
Kesley menyunting video dia bermain FM untuk disiarkan di saluran YouTube miliknya. — Agensi
"Dari segi wang saya raih sekarang, ia adalah dua kali ganda daripada apa yang saya peroleh daripada kerja sebelum ini.
"Apa yang menarik, saya meraih wang dengan begitu banyak sambil menjadi bos untuk diri sendiri dan tidak bekerja untuk orang lain," ujarnya.
Kelab bola sepak cari pakar taktikal FM
Selain daripada kisah Kesley yang membina kekayaan menerusi FM, terdapat sebuah kelab bola sepak cuba mencari pakar taktikal menerusi permainan sama.
Broomley FC, kelab divisyen lima England mencari seorang pemain FM untuk menjadi pakar taktikal mereka. Untuk mendapatkannya, mereka mengadakan pertandingan bagi mencari pemenang.
Pertandingan yang diberi nama The Everyday Tactician itu adalah anjuran Xbox dan Football Manager untuk meraikan sambutan 20 tahun permainan tersebut dihasilkan oleh Sports Interactive.
Pemenang kepada pertandingan ini akan bekerja secara langsung dengan pengurus pasukan, Andy Woodman serta jurulatih pasukan utama kelab tersebut iaitu Alan Dunne dalam urusan pengurusan taktikal.
"Di Broomley FC, kami berbangga menjadi sebuah kelab komuniti dan teruja mengalu-alukan penyokong yang bersemangat untuk menjadi sebahagian daripada staf kejurulatihan.
"Sudah pasti, ramai di luar sana yang tahu bermain Football Manager, jadi kami teruja untuk mengalukan kehadiran seseorang yang boleh melakukannya di dunia sebenar," kata Woodman
FM adalah gaya hidup
Tidak lagi hanya sekadar permainan pelepas bosan, FM kini menjadi permainan video yang mampu menjadi peluang menjana pendapatan buat para pemainnya.
Seperti permainan EA Sports FC, FM juga sudah menjadi sebahagian daripada gaya hidup para pemainnya di seluruh dunia.
Situasi yang berlaku kepada Kesley dan Broomley FC mungkin belum lagi berlaku di Malaysia. Namun dalam tahun-tahun mendatang, mungkin akan ada pemain FM sepenuh masa dari negara kita. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram