LANGKAH kanan yang diperoleh skuad Malaysia ketika menentang Republik Krgyz memberikan permulaan baik dalam kelayakan Piala Dunia 2026-Piala Asia 2027.
Kebangkitan epik daripada ketinggalan 1-3 menjadi kemenangan 4-3 membuatkan lebih 17,000 penyokong Harimau Malaya yang hadir ke Stadium Nasional Bukit Jalil pada Khamis.
Kemenangan Malaysia itu meletakkan mereka ditangga kedua carta kumpulan D selepas Oman menang 3-0 ke atas Chinese Taipei.
Kejayaan yang diraih oleh skuad kendalian Kim Pan-gon ini sememangnya istimewa. Malah, Malaysia merupakan satu daripada dua pasukan Asia Tenggara yang berjaya menang perlawanan pertama kelayakan.
Selain daripada Malaysia, hanya Vietnam yang berjaya memperoleh kemenangan selepas mereka menewaskan Filipina 2-0 di Manila.
Kemenangan itu meletakkan Vietnam juga menduduki kedudukan kedua untuk kumpulan F selepas pendahulu iaitu Iraq menang besar.
Menang besar dengan siapa? Mereka menewaskan Indonesia 5-1 di laman sendiri dengan menyaksikan pertahanan Johor Darul Takzim (JDT), Jordi Amat menjaringkan gol sendiri.
Selain Indonesia, terdapat dua lagi pasukan Asia Tenggara yang memboloskan lima gol dalam perlawanan kelayakan masing-masing. Mujur, mereka sama seperti Indonesia apabila kedua-duanya kalah di tempat lawan.
Pasukan yang menerima nasib sama adalah Singapura yang turut tumpas 0-5 kepada Korea Selatan di Seoul.
Bintang-bintang hebat Korea Selatan seperti Hwang Hee-chan, Lee Kang-in dan ketua pasukan Son Heung-min semuanya mencatatkan nama selaku penjaring.
Singapura dilanggar Korea Selatan di Seoul. — Facebook/FA Singapore
Myanmar menjadi mangsa belasahan Jepun apabila Samurai Biru menjaringkan lima gol tanpa balas dalam kemenangan di Suita City Stadium.
Ayase Ueda mencatatkan hatrik sementara Ritsu Doan dan Daichi Kamada masing-masing menjaringkan satu gol.
Pasukan Asia Tenggara terakhir yang turut kalah pada perlawanan pertama adalah Thailand. Tewas di laman sendiri, skuad Gajah Perang pastinya kecewa kerana melepaskan pendahuluan satu gol ke atas China.
Gol oleh Sarach Yooyen meletakkan Thailand di depan pada minit ke-23 sebelum China bangkit menerusi gol oleh Wu Lei serta Wang Shangyuan.
Thailand kalah di laman sendiri. — Facebook/FA Thailand
Rekod yang terhasil ini tampak tidak baik secara amnya buat bola sepak Asia Tenggara. Namun begitu masih terlalu awal untuk menentukan nasib setiap pasukan.
Masih ada lima perlawanan kelayakan untuk diharungi dan setiap pasukan masih berpeluang mengubah nasib mereka. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram