BEBERAPA minggu kebelakangan ini merupakan waktu yang sukar buat pemain Liverpool dan Colombia iaitu Luis Diaz.
Pemain serangan The Reds itu mengalami masa sukar apabila kedua ibu bapanya diculik di negaranya. Disebabkan perkara itu, Diaz terpaksa pulang ke Colombia untuk cuba menyelesaikan masalah terbabit.
Perkara itu membuatkan Diaz terlepas aksi Liverpool bertemu Nottingham Forest pada 29 Oktober yang lalu. Ketika itu, ibu Diaz berjaya diselamatkan namun bapanya masih lagi tidak ditemui.
Kini, bapa Diaz berjaya diselamatkan dan kedua-dua insan ini disatukan semula apabila pemain tersebut pulang ke Colombia untuk tugasan antarabangsa.
Selepas disatukan, bapa Diaz menjadi saksi kecemerlangan anaknya di padang dengan pemain itu membantu Colombia mencipta sejarah menentang Brazil.
Kecemerlangan yang ditonjolkan oleh Diaz telah buatkan bapanya begitu terharu seperti yang disaksikan dalam video tular di media sosial.
Dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2026 zon Amerika Selatan melibatkan Colombia dan Brazil, Diaz beraksi cemerlang apabila menjaringkan dua gol untuk negaranya.
Lebih manis, Diaz meraikan jaringannya di itu di depan bapanya yang begitu terharu melihat kecemerlangan anaknya. Diaz sememangnya menghadiahkan gol tersebut untuk orang tuanya itu.
Dua jaringan itu sudah cukup memberikan kemenangan 2-1 ke atas Brazil. Lebih manis, kemenangan itu adalah yang pertama dicatatkan negara itu ke atas juara dunia lima kali tersebut dalam perlawanan kelayakan.
Kemenangan tersebut menyaksikan Colombia menduduki tangga ketiga kelayakan Piala Dunia 2026 zon Amerika Selatan dengan sembilan mata. Mereka ketinggalan tiga mata dengan pendahulu iaitu Argentina yang mengumpul 12 mata.
Sementara Brazil di kedudukan kelima dengan tujuh mata selepas kalah dua perlawanan kelayakan berturut-turut. Selepas ini, mereka akan berdepan musuh tradisi iaitu Argentina. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram