Elemen sains sukan Pan-gon asas pembentukan Harimau Malaya baharu


  • Podium
  • Jumaat, 17 Nov 2023

Pan-gon (tengah) bersama barisan kejurulatihannya ketika diperkenalkan oleh FAM pada tahun lalu.

SEKURANG-KURANGNYA empat pegawai diperlukan dalam sesi latihan setiap atlet kebangsaan, demikian kata pakar sains sukan Sepanyol, Inigo Mujika, dalam satu laporan Stadium Astro pada Januari 2018.

Menurut Mujika, empat aspek wajib dalam penerapan sains sukan itu melibatkan pakar pemakanan, psikologi, fisioterapi dan penganalisis video dalam mendapatkan keputusan terbaik.

"Dalam aspek sains sukan, ia memerlukan seorang atau dua pakar dalam bidang pemakanan, psikologi, fisioterapi dan penganalisis prestasi.

"Mereka ini adalah barisan biasa untuk pasukan bola sepak dalam liga," kata Mujika dalam wawancara berkenaan.

Mujika

Inigo Mujika. Stadium Astro

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) jelas menyedari perkara itu, di mana badan induk itu sudah memulakan usaha memperkuatkan aspek berkenaan menerusi jalinan kerjasama dengan Universiti Malaya (UM) pada Oktober tahun lalu, lapor Stadium Astro.

Kerjasama strategik itu menumpukan kepada aspek prestasi tinggi dalam sukan bola sepak negara.

Timbalan Presiden FAM, Datuk S Sivasundaram berkata, kolaborasi bersama universiti berkenaan dilihat sebagai jalinan kerjasama yang berharga buat badan induk itu, di mana aspek sains sukan dalam bola sepak adalah sangat penting bagi memastikan skuad kebangsaan dapat beraksi di tahap yang maksimum.

Menariknya, kesepakatan itu dimeterai genap 10 bulan selepas Kim Pan-gon dilantik sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya.

Pan-gon sememangnya jurulatih yang amat menitikberatkan elemen sains sukan dalam pembentukan pasukan bola sepak.

Sewaktu dilantik sebagai naib presiden Persatuan Bola Sepak Korea (KFA) dan ketua jawatankuasa pengukuhan pasukan kebangsaan itu pada 2017, dia amat menekankan penggunaan sains sukan dan mewujudkan sebuah pasukan sains bola sepak KFA sebagai usaha mempercepatkan rawatan dan pemulihan pemain dan latihan bebanan secara saintifik.

Lapan bulan selepas pelantikannya, FAM menghantar tiga kakitangannya untuk berguru di Seoul, Korea Selatan, di mana penyertaan itu adalah atas cadangan dan rekomendasi dari Pan-gon sendiri.

Tiga individu berkenaan terdiri daripada Ketua Unit Perubatan dan Sains Sukan FAM, Sivansvaran Suppiah, ahli fisioterapi, Harris Zafran, dan penolong jurulatih skuad kebangsaan, Park Bobae. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram