NAMA Safee Sali bukanlah asing dalam bola sepak kita, dia adalah penyerang terbaik Malaysia di era moden ini.
Safee mencipta nama bersama-sama Selangor dan kemuncak prestasinya adalah ketika dengan Harimau Malaya apabila berjaya membawa Malaysia menjuarai Piala AFF 2010.
Prestasi cemerlang itu membuatkan Safee menerima tawaran dari kelab Indonesia iaitu Pelita Jaya. Selepas beraksi di sana, terdapat usaha untuk Selangor membawa penyerang itu kembali beraksi di Liga Super.
10 tahun yang lalu, Selangor melancarkan misi untuk membawa kembali Safee dengan harapan dapat menguatkan Gergasi Merah yang ketika itu tenggelam dek kerana kekuatan Kelantan serta kewujudan Lions XII dan kemunculan awal Johor Darul Takzim (JDT).
Menurut Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) ketika itu, Datuk Mokhtar Ahmad, dia mengatakan Safee begitu hampir untuk menyertai Selangor. Safee dikatakan akan bersama Selangor selepas pulang daripada tugasan kelayakan Piala Asia 2015 menentang Qatar.
Safee Sali tinggalkan Selangor untuk sertai Pelita Jaya di Indonesia. — Agensi
"Kami hampir untuk mendapatkan Safee dan saya percaya dia sangat ingin untuk menyertai semula Selangor.
"Kami ada bertemu dengannya sebelum ini dia melapor diri untuk tugasan antarabangsa dan semuanya dalam keadaan baik-baik saja," kata Mokhtar.
Entah di mana silapnya, perpindahan itu tidak menjadi kenyataan. Sebaliknya, Safee pulang ke Malaysia untuk menyertai JDT.
Selepas bersama-sama Harimau Selatan, Safee ada kembali ke bekas pasukannya tetapi bukannya Selangor. Sebaliknya, Safee menyertai semula Kuala Lumpur City FC dan itu adalah kelab terakhirnya dalam kariernya yang penuh gemilang.
Maju ke masa kini, Safee kini tidak lagi bermain selepas mengumumkan persaraan daripada bola sepak pada Februari 2023.
Dia kini menjadi Presiden Persatuan Pemain Profesional Malaysia (PFAM) sambil dibantu oleh Razman Roslan sebagai Timbalan Presiden. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram