Tamatkan kontrak kerana pro-Palestin, Anwar El Ghazi saman kelab Jerman


  • Podium
  • Khamis, 16 Nov 2023

Anwar El Ghazi kini tidak lagi bersama-sama Mainz. — Agensi

KETIKA ini, dunia seolah-olah terbahagi kepada dua terhadap sokongan dalam konflik Palestin dan Israel.

Dalam bola sepak pun sama, ada pasukan dan pemain yang menyebelahi Palestin dan tidak juga terdapat golongan mendukung rejim Zionis itu.

Di Eropah, rata-rata pemain yang menyokong Palestin akan diambil tindakan oleh kelab mereka. Seperti bekas pemain Mainz, Anwar El Ghazi yang ditamatkan kontraknya kerana menyokong Palestin secara terbuka.

Bekas pemain Aston Villa itu pada 3 November memuat naik hantaran dengan mesej 'from river to the sea, Palestine will be free' di media sosialnya.

el ghazi (1)

Hantaran pro-Palestin El Ghazi yang membuatkan Mainz menamatkan kontraknya. — Agensi

Sebelum ini, dia dikenakan hukuman gantung tugas dan tidak boleh bermain untuk Mainz. Walaupun dikenakan tindakan tersebut, El Ghazi tetap teguh untuk menyokong Palestin.

Tindakan El Ghazi itu kemudiannya menyebabkan Mainz memilih untuk menamatkan kontraknya. Kini, pemain itu mengenakan serangan balas dengan mengambil tindakan undang-undang terhadap kelab tersebut.

El Ghazi dilaporkan telah mengambil tindakan undang-undang dengan menyaman Mainz kerana menamatkan kontraknya.

Di media sosialnya, El Ghazi mengatakan apa yang terjadi terhadapnya tidak akan menganggu periuk nasinya sebagai pemain bola sepak.

Apalah sangat nasib yang diterimanya berbanding dengan nasib menimpa warga Palestin ketika ini.

"Kehilangan mata pencarian saya tidak bermakna apa-apa jika dibandingkan dengan kesengsaraan dan penderitaan yang dialami mereka yang tidak bersalah di Gaza.

"Saya berdiri demi kebenaran, meskipun ia bermakna saya terpaksa mengharunginya sendirian," kata El Ghazi.

El Ghazi kini tidak mempunyai kelab dan boleh menyertai pasukan baharu pada jendela perpindahan musim sejuk Januari kelak. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram