AFF anjur semula Kejohanan Kelab-Kelab Asean bermula musim 2024/2025


  • Podium
  • Khamis, 16 Nov 2023

Kelab-kelab Asia Tenggara bakal bertarung sesama sendiri dalam kejohanan khas anjuran AFF. — Facebook/Sabah FC

DALAM bola sepak moden, ia adalah lazim apabila terdapat kejohanan peringkat benua diadakan melibatkan kelab-kelab.

Jika di Eropah dan Amerika Selatan ada UEFA Champions League dan Copa Libertadores, benua Asia turut mempunyai kejohanan serupa iaitu Liga Juara-Juara AFC (ACL).

Tetapi, pernahkah anda dengar kejohanan serupa tetapi untuk peringkat serantau? Jika tidak, ia akan muncul tidak lama lagi!

Persatuan Bola Sepak Asean (AFF) kini dalam perancangan untuk membawa kembali Kejohanan Kelab-Kelab Asean (ACC) yang sebelum ini dihentikan seketika penganjurannya.

ACC merupakan kejohanan bola sepak yang hanya ditandingi oleh kelab-kelab dari rantau Asia Tenggara sahaja. Sebelum ini, ia pernah dipertandingkan sebanyak dua kali pada 2003 dan 2005.

Usaha untuk menghidupkan semula kejohanan ini bermula sejak daripada 2012 lagi dan selepas lebih daripada 10 tahun, AFF akhirnya akan menganjurkan semula ACC.

Menurut perancangan AFF, ACC dijangka akan kembali pada musim 2024/2025 dengan perlawanan akan diadakan secara timbal balik dari pusingan awal hingga perlawanan akhir.

Saingan akan bermula pada Julai 2024 dengan pusingan kelayakan diadakan pada 17 dan 24 Julai. Saingan peringkat kumpulan akan bermula daripada bulan Ogos 2024 hingga Februari 2025.

Aksi separuh akhir akan diadakan pada April 2025 dan perlawanan akhir diadakan sebulan kemudian.

Buat masa sekarang, masih belum ada ketetapan terutamanya daripada pihak Malaysian Football League (MFL) mengenai perkara ini terutamanya berkaitan penyertaan kelab-kelab Malaysia dalam ACC.

Jika kelab-kelab Malaysia bersetuju untuk menyertai ACC, persoalan seterusnya adalah mengenai mekanisme untuk menentukan siapakah wakil negara di kejohanan.

Sudah pasti, kelab-kelab yang terlibat dalam saingan seperti ACL Elite dan ACL 2 musim depan tidak akan menyertai ACC. Mungkin, MFL boleh memberikan slot tersebut kepada pasukan yang menduduki tangga ketiga Liga Super atau pemenang Piala Malaysia.

Untuk rekod, Sri Pahang FC pernah sampai ke perlawanan akhir ACC pada 2005 yang diadakan di Bandar Seri Begawan, Brunei.

Malangnya, Tok Gajah tumpas kepada kelab Singapura iaitu Tampines Rovers dengan keputusan 2-4. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram