MALAYSIA akan bertemu Republik Krgyz dalam perlawanan pembukaan aksi kelayakan Piala Dunia 2026-Piala Asia 2027 kumpulan D pada Khamis ini.
Berbekalkan harapan dapat mara ke pusingan ketiga kelayakan, Harimau Malaya pasti mahu layak ke Piala Dunia buat pertama kali walaupun ia pastinya sukar untuk dilakukan.
Bertemu Republik Krgyz pada Khamis mengingatkan kita kepada pertemuan antara dua negara pada 2018 di Stadium Hang Jebat, Melaka. Waktu itu, Malaysia kalah 0-1 hasil jaringan Bekjan Sagynbaev.
Banyak telah berubah sejak daripada itu termasuklah kesebelasan utama Malaysia. Majoriti menyingkap semula di manakah kesebelasan yang turun menentang Republik Krgyz pada 2018 pada hari ini:
Khairul Fahmi Che Mat
Merupakan wira Malaysia di Piala AFF 2010. Fahmi mempunyai karier yang panjang bersama-sama Harimau Malaya.
Namun pada 2018 merupakan detik-detik akhirnya bersama-sama skuad kebangsaan. Pada waktu itu juga, bekas penjaga gol Kelantan FC ini sedang mewakili Melaka United FC.
Khairul Fahmi dianggap antara penjaga gol terbaik negara di era moden. — Agensi
Kini beraksi untuk Sabah FC. Fahmi turut tidak lagi dipanggil menyertai skuad Malaysia memandangkan posisi utama Harimau Malaya jelas selayaknya milik Syihan Hazmi dari JDT.
Irfan Zakaria
Pertahanan berpotensi tinggi ini sering menerima panggilan Harimau Malaya ketika penghujung era 2010-an.
Pada waktu itu, Irfan mewakili Kuala Lumpur City buat kali pertama sebelum ke Kedah Darul Aman (KDA) FC dan kembali semula menyertai skuad Warga Kota.
Irfan merupakan sebahagian daripada skuad kejuaraan Piala Malaysia 2021 KL City. Kini, dia bersama-sama Sabah dan tidak lagi dipanggil mewakili Malaysia.
Shahrul Saad
Pertahanan tengah ini merupakan antara harapan penyokong Perak FC pada waktu itu. Shahrul menunjukkan keteguhannya serta 'kerasnya' ketika bermain.
Shahrul masih lagi bersama Harimau Malaya sehingga kini. — The Star/Faihan Ghani
Shahrul berkhidmat lama untuk Perak sebelum akhirnya meninggalkan pasukan itu demi Johor Darul Takzim (JDT) pada 2021.
Masih kekal bersama JDT, pemain ini pernah 'hilang' sekejap dalam radar Harimau Malaya namun kini mula kembali apabila sering dipanggil Kim Pan-gon untuk memantapkan pilihan barisan pertahanan.
Syahmi Safari
Syahmi merupakan antara pemain kesayangan penyokong Selangor. Mereka menanggap dia akan mengubat duka selepas Gergasi Merah hilang dua pertahanan kanan kepada JDT iaitu Mahali Jasuli serta Azrifnasrul Haq.
Dia bagaimana pun meninggalkan Selangor untuk JDT pada 2022. Bersama skuad kebangsaan, Syahmi sering dipanggil baik ketika era Nelo Vingada atau Tan Cheng Hoe.
Ketika era Pan-gon pula, Syahmi masih dipanggil tetapi minitnya lebih terhad berbanding sebelum ini kerana persaingan yang kuat daripada pilihan lain. Dia juga masih kekal bersama-sama JDT.
Syazwan Andik
Antara pemain pertahan berprospek tinggi, Syazwan Andik merupakan salah seorang graduan Harimau Muda sama seperti Irfan dan Syahmi.
Karier Syazwan menyaksikan dia sering bertukar-tukar pasukan. Ketika menentang Republik Krgyz pada 2018, dia beraksi untuk KL City.
Selepas itu, dia mewakili pasukan seperti JDT dan Melaka United. Kini bersama-sama Sri Pahang FC, Syazwan tidak lagi dipanggil mewakili Harimau Malaya.
Syamer Kutty Abba
Sejak harinya bersama-sama Penang FC, Syamer sudah menunjukkan kualitinya sebagai pemain tengah bertahan yang cukup hebat.
Jika tidak, kenapa dia sempat dipinjamkan ke kelab Portugal, Vilaverdense pada 2018 serta sering menjadi aset mana-mana jurulatih Harimau Malaya.
Syamer turut menjadi pilihan utama Pan-gon terutamanya ketika masa-masa awal pengendali tersebut bersama skuad kebangsaan. Kini, namanya seperti sudah hilang daripada radar.
Kenny Pallraj
Kenny bukanlah pemain yang sering terlibat dalam tugasan kebangsaan. Namun sekitar waktu ini, namanya sering terpanggil mewakili negara.
Ketika itu, Kenny merupakan pemain Perak dan sebahagian daripada skuad yang memenangi perlawanan akhir penuh Piala Malaysia 2018 menentang Terengganu FC.
Kini beraksi bersama-sama KL City, Kenny tidak lagi terlibat dengan skuad kebangsaan.
Zaquan Adha
Antara pemain yang lama berkhidmat dalam skuad kebangsaan, Zaquan antara pemain pernah menjadi ketua pasukan Harimau Malaya ketika era Cheng Hoe.
Mewakili negara hampir 100 kali dengan 88 penampilan, Zaquan dilihat sebagai antara pemain Malaysia paling kerap berkhidmat di zaman moden.
Kini bersama Negeri Sembilan FC, Zaquan berada di fasa akhir kariernya.
Mohamadou Sumareh
Sumareh adalah antara pemain naturalisasi terawal dimiliki negara. Kecemerlangannya bersama-sama Sri Pahang dan PDRM FC telah membuatkan dia dipilih untuk beraksi dengan Harimau Malaya.
Sumareh antara pemain naturalisasi terawal negara. — Agensi
Bermula dengan baik dalam kariernya bersama Harimau Malaya, Sumareh bagaimana pun mula tidak digemari penyokong kerana persembahannya ibarat 'tidak balik modal'.
Kini bersama JDT dan dipanggil semula untuk berdepan Republik Krgyz, jika diturunkan Sumareh mempunyai peluang untuk membuktikan dirinya masih berguna untuk Malaysia.
Syazwan Zainon
Pemain sayap ini mencapai kemuncak kariernya bersama-sama KDA dan 2018 merupakan tahun terakhirnya bersama-sama Sang Kenari sebelum menyertai Selangor.
Syazwan menjaringkan dua gol untuk Malaysia sepanjang kariernya. — Agensi
Melakukan sebanyak 18 penampilan bersama Malaysia. Syazwan menghasilkan dua gol untuk Harimau Malaya dan ia hadir ketika kemenangan ke atas Kemboja pada Piala AFF 2016.
Kini berusia 34 tahun, Syazwan beraksi bersama Kelantan United FC.
Norshahrul Idlan Talaha
Dianggap sebagai antara penyerang moden terbaik negara, Norshahrul mencipta sensasi bersama Malaysia ketika bergandingan dengan Safee Sali di Piala AFF 2010.
Norshahrul kini beraksi di Liga M3. — Agensi
Mempunyai corak permainan unik, Norshahrul terkenal dengan gerakan atas garisan padang yang boleh memerangkap pertahanan lawan. Lihat saja dua bantuan jaringannya untuk Malaysia ketika bertemu Indonesia pada 2010 - memang mantap!
Norshahrul menjadi satu-satunya pemain dalam kesebelasan ini yang kini beraksi di luar Liga Super. Dia bermain untuk Harini FT dalam saingan Liga M3. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram