Wakil KDA FC mahu 'risik' bintang naturalisasi Kyrgyzstan, klu import baharu Sang Kenari?


  • Podium
  • Khamis, 16 Nov 2023

Kyrgyzstan pastinya mahu mencuri tiga mata penuh dalam aksi pembukaan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027. — Facebook/Kyrgyzstan FA

PERTEMBUNGAN antara Harimau Malaya dan Kyrgyzstan untuk aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 dijangka mencuri perhatian peminat bola sepak tanah air.

Berdasarkan info semasa, aksi yang bakal berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Khamis itu sudah menarik kira-kira 19,000 penonton.

Amaun berkenaan dijangka terus meningkat memandangkan perlawanan tersebut cukup penting dalam merealisasikan impian negara dalam menyertai temasya sukan ternama dunia itu.

Tidak cukup dengan itu, kejayaan dalam kempen terbabit akan menyaksikan kedudukan negara dalam ranking FIFA akan bertambah baik dengan mereka kini menduduki tangga ke-137 dunia.

Malah, perlawanan tersebut juga dilihat menarik minat kelab-kelab Liga Super yang mahu menyaksikan kemampuan pemain kebangsaan mahupun lawan.

WhatsApp Image 2023-11-16 at 16.10.11

Ciapan Joe Rozi boleh ditafsirkan sebagai klu mengenai import baharu skuad Sang Kenari.

Antara yang dijangka menghantar wakil untuk menyaksikan aksi itu ialah Kedah Darul Aman (KDA) FC berdasarkan satu ciapan Joe Rozi.

Dia yang merupakan penyelaras kelab dilihat sering terlibat dalam menentukan hala tuju pasukan memandangkan dia mempunyai hubungan baik dengan ketua jurulatih, Nafuzi Zain.

Jadi, tidak hairanlah apabila hantaran di Twitter peribadinya jelas memberi gambaran bahawa dia sudah tidak sabar untuk menonton aksi berkenaan dengan seorang pemain bakal diperhatikannya.

"Terdapat seorang pemain dalam skuad Kyrgyzstan yang aku mahu saksikan. Joel Kojo merupakan pemain kelahiran Ghana tetapi sudah dapatkan pasport Republik Kyrgyz dengan hanya dua penampilan direkodkan jika tidak silap.

"Dia kini berada di kedudukan kedua penjaring terbanyak liga kedua Uzbekistan dan dia pernah meraih gelaran pemain terbaik tahunan apabila membantu pasukannya, Dinamo Samarqand muncul naib juara," katanya.

Pemain berusia 25 tahun berkenaan masih belum menjaringkan sebarang gol buat Kyrgyzstan dengan sumbangannya dijangka terus ditagih pada tahun-tahun mendatang.

401660388_18397458331000623_5162705796273843424_n

Joel Kojo baru sahaja mencatatkan dua penampilan buat Kyrgyzstan setakat ini. Facebook/Kyrgyzstan FA

Dalam masa sama, Joe Rozi atau nama sebetulnya, Zul Fadzli Rozi turut menegaskan bahawa Joel Kojo bukanlah pemain naturalisasi pertama dalam skuad Kyrgyzstan.

"Ini bukanlah kali pertama mereka mempunyai seorang yang berdarah Afrika kerana Joel Kojo mungkin pemain keempat dalam kategori itu," tulisnya.

Berdasarkan skuad yang dibawa Kyrgyzstan, salah seorang pemain mereka, Ernist Batyrkanov pernah beraksi dalam Liga Super bersama Kelantan United.

Selain itu, pasukan di tangga ke-97 dunia itu juga melantik bekas pemain Kedah FA, Edgar Bernhardt sebagai staf kejurulatihan, namun tidak dapat bersama akibat isu peribadi.

Ia pastinya menjadi satu kelebihan buat negara Asia Tengah berkenaan untuk mengetahui kebolehan skuad kebangsaan untuk perlawanan penting itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram