[VIDEO] Waspada ancaman Ernist Batyrkanov, jangan lupa bekas bintang Kedah juga pernah hampakan HM ketika masih beraksi dalam Liga M


  • Podium
  • Rabu, 15 Nov 2023

Antara aksi perlawanan di antara Malaysia dan Kyrgyzstan pada 2018. — Facebook/FAM

DEBARAN semakin terasa apabila hanya tinggal satu hari lagi Harimau Malaya akan memulakan misi penting untuk meraih slot ke Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 ketika berdepan Republik Kyrgyz di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Khamis.

Kim Pan-gon telah memanggil tiga muka baharu iaitu Mohamadou Sumareh, Muhammad Afiq Fazail dan Syahmi Safari bagi memperkuatkan skuad kebangsaan bagi menghadapi saingan daripada anak-anak buah Stefan Tarkovic.

Diperkuatkan dengan bekas pemain import Kelantan United, Ernist Batyrkanov ia pasti menjadi ujian besar buat Pan-gon memandangkan penyerang Kyrgyzstan itu mengenali corak permainan bintang-bintang Harimau Malaya.

Perlawanan pada Khamis bakal menjadi pertemuan kedua buat kedua-dua negara selepas kali terakhir pasukan pelawat berjaya menewaskan skuad kendalian Tan Cheng Hoe 0-1 di Stadium Hang Jebat, Melaka pada 2018.

Bagaikan sejarah mungkin berulang, situasi Ernist yang beraksi dalam Liga Malaysia (Liga M) musim ini turut pernah berlaku pada 2018.

Ia apabila lima tahun dulu kapten pasukan Republik Kyrgyz, Edgar Bernhardt mewakili pasukan Kedah Darul Aman (KDA FC) sekali gus menyingkap semula sejarah lama.

Menyertai Kedah pada jendela perpindahan kedua Liga M 2018, Edgar berjaya membantu Sang Kenari menjuarai Piala FA dengan merekodkan lima 'assist' dalam lapan penampilan.

Bersama Kyrgyzstan pula, bekas pemain berusia 37 tahun itu menjadi arkitek utama untuk memadam impian Cheng Hoe memenangi perlawanan persahabatan sulung menentang pasukan pelawat.

Musim ini, Edgar dikhabarkan bakal meninggalkan kelab Jerman, Preuben Espelkamp dan menyertai barisan kejurulatihan Kyrgyzstan sebagai pembantu jurulatih.

Untuk info, dua pemain dari skuad Kyrgyzstan pada 2018 iaitu Ernist dan Tamirlan Kozubaev masih menjadi pilihan Tarkovic apabila mereka dijangka diturunkan sebagai kesebelasan utama menentang Harimau Malaya pada Khamis. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram