Bekas penggempur Kijang Hijau antara 3 ancaman Republik Kyrgyz menentang Harimau Malaya


  • Podium
  • Rabu, 15 Nov 2023

Ernist Batyrkanov pernah beraksi bersama-sama Kelantan United. — Facebook/Kelantan United FC

MALAYSIA kembali dalam satu lagi percubaan untuk melayakkan diri ke saingan Piala Dunia apabila turun menentang Republik Kyrgyz pada Khamis di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Dengan peluang untuk ke Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico pada 2026 dilihat terbuka, skuad kendalian Kim Pan-gon perlu menepis cabaran daripada Republik Kyrgyz, Chinese Taipei dan Oman untuk mara ke pusingan seterusnya dalam kelayakan Piala Dunia 2026 yang turut menawarkan tempat ke Piala Asia 2027.

Republik Kyrgyz bukanlah sebuah negara yang sering kita hadapi. Namun begitu, Harimau Malaya tidak boleh leka dengan mereka dan perlu menentang sehabisnya demi mendapatkan tiga mata.

Dalam analisis ringkas Majoriti kali ini, kita akan menyingkap tiga pemain paling bahaya Republik Kyrgyz yang perlu diberikan perhatian:

1. Erzhan Tokotaev

Penjaga gol muda berusia 23 tahun ini merupakan antara yang perlu diberikan perhatian oleh barisan serangan Harimau Malaya.

Walaupun masih muda, tapi Tokotaev merupakan penjaga gol utama Republik Kyrgyz dengan sudah melakukan 16 penampilan untuk negaranya.

201131_29bab5b764f61a3a49dd7274048c1d0f

Tokotaev merupakan penjaga gol utama Republik Kyrgyz. — Agensi

Penjaga gol yang bermain untuk Sanliurfaspor di saingan divisyen dua Turkiye itu mempunyai ketinggian 1.89 meter dan ia memberikan kelebihan kepadanya ketika cuba memintas bola-bola tinggi yang cuba masih ke dalam kawasan penalti Republik Kyrgyz.

Barisan serangan Harimau Malaya harus mengambil peluang yang ada setiap kali berdepan Tokotaev. Jika tidak, Malaysia tidak akan berpeluang mendapatkan gol.

2. Ernist Batyrkanov

Satu lagi nama yang perlu diberikan perhatian adalah penyerang bernama Ernist Batyrkanov.

Penyerang berusia 25 tahun ini mempunyai pengalaman pernah beraksi di Malaysia bersama-sama Kelantan United FC. Bersama Sang Kijang Hijau, dia melakukan 11 penampilan liga sebelum meninggalkan kelab pada Julai lalu.

images

Batyrkanov pernah beraksi di Malaysia bersama Kelantan United. — Facebook/Kelantan United FC

Batyrkanov telah mencipta 22 penampilan bersama-sama skuad kebangsaannya serta telah menghasilkan tiga gol. Jika berjaya menembusi gawang Malaysia, dia akan menyamai rekod jaringannya ketika bersama skuad bawah 23 tahun (B-23) Republik Kyrgyz dengan empat gol.

Penyerang ini pastinya mengetahui sedikit sebanyak berkenaan cara pemain kita beraksi namun itu bukan tiket untuk Harimau Malaya leka apabila dia berada di padang.

3. Joel Kojo

Jika kita ada pemain naturalisasi, Republik Kyrgyz pun tak nak kalah. Mereka mempunyai penyerang naturalisasi daripada Ghana iaitu Joel Kojo.

Kojo merupakan antara pemain yang beraksi dengan baik bersama-sama kelabnya iaitu Dinamo FC dalam saingan divisyen dua Uzbekistan. Setakat 17 perlawanan liga, dia sudah menghasilkan 11 gol serta tiga bantuan jaringan.

en-715182.1686895844.b

Kojo telah menjaringkan dua gol daripada lima penampilan bersama Republik Kyrgyz. — Agensi

Tempoh Kojo bersama-sama skuad Republik Kyrgyz masih lagi baru dengan penyerang itu cuma melakukan lima penampilan setakat ini termasuklah menghasilkan dua gol ketika menang 3-1 ke atas Kuwait pada September lalu.

Kojo antara pemain yang menarik untuk disaksikan berdasarkan rekod cemerlangnya dalam saingan liga. Tetapi adakah dia cukup cemerlang untuk mengatasi halangan Dion Cools dan barisan pertahanan Harimau Malaya? Kita saksikan nanti. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram