Harga tiket Harimau Malaya-Republik Kyrgyz serendah RM5, RM2 disumbangkan ke tabung Palestin


  • Podium
  • Isnin, 06 Nov 2023

RM2 daripada setiap jualan tiket tersebut juga akan disumbangkan ke tabung Palestin. — Facebook/FAM

DEBARAN perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 kian terasa, kurang daripada 10 hari kita akan menyaksikan pasukan kebangsan bakal beraksi sekali lagi di gelanggang keramat Harimau Malaya.

Menjelang perlawanan kelayakan Kumpulan D, Pusingan 2 antara Malaysia dan Republik Kyrgyz, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah mengumumkan harga tiket bagi aksi tersebut.

Dalam mesyuarat yang dipengerusikan oleh Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, Jawatankuasa Eksekutif bersetuju dengan penetapan harga tiket oleh Jawatankuasa Tiket dan Stadium FAM bagi perlawanan pertama yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 16 November depan.

WhatsApp Image 2023-11-06 at 15.32.20

Harimau Malaya tewas di tangan Tajikistan dalam kejohanan Pestabola Merdeka 2023. — Facebook/FAM

Harga tiket yang ditetapkan bagi perlawanan tersebut ialah RM40 (dewasa) dan RM5 (kanak-kanak 6-12 tahun) bagi Kategori terbuka, manakala RM60 pula bagi Kategori Grandstand dan RM80 bagi Kategori Premium.

Penetapan harga-harga tiket tersebut telah diputuskan oleh Jawatankuasa Tiket dan Stadium FAM selepas mengambil kira pelbagai faktor termasuk peningkatan semasa kos-kos berkaitan iaitu melibatkan kos pengurusan dan penganjuran perlawanan.

Selain itu, penetapan harga RM40 bagi Kategori Terbuka adalah berdasarkan taraf perlawanan ini iaitu perlawanan Kelayakan Piala Dunia/Piala Asia yang pastinya berbeza dengan harga tiket Perlawanan Antarabangsa Tier 1 iaitu RM30 bagi Kategori Terbuka.

Bagaimanapun, RM1 daripada setiap jualan tiket (kesemua kategori) bagi perlawanan menentang Republik Kyrgyz itu akan disumbangkan ke tabung Kempen Selamatkan Harimau Malaya sepertimana yang telah dilaksanakan oleh FAM bermula dari Perlawanan Antarabangsa Tier 1 menentang Turkmenistan dan Hong Kong pada Mac lalu.

Sementara RM2 daripada setiap jualan tiket tersebut juga akan disumbangkan ke tabung Palestin sebagai tanda soladiriti dan membantu mengurangkan penderitaan rakyat Palestin yang sedang berdepan konflik di Gaza ketika ini.

Penjualan tiket bagi perlawanan menentang Republik Kyrgyz itu sepenuhnya secara dalam talian di www.tickethotline.com.my bermula esok (Selasa, 7 November 2023) sehingga ke hari perlawanan (Khamis, 16 November 2023).

Selain itu, tiada sebarang penjualan tiket secara fizikal di kaunter tiket stadium atau mana-mana premis. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram