[VIDEO] Debaran lawan Kyrgyzstan, rupanya bukan saja-saja KPG panggil 3 bintang tersisih JDT sertai HM


  • Podium
  • Khamis, 16 Nov 2023

Antara aksi perlawanan di antara Malaysia dan Kyrgyzstan pada 2018. — Facebook/FAM

DEBARAN semakin terasa apabila Harimau Malaya akan memulakan misi penting untuk meraih slot ke Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 apabila berdepan Republik Kyrgyz di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Khamis.

Kim Pan-gon telah memanggil tiga muka baharu iaitu Mohamadou Sumareh, Muhammad Afiq Fazail dan Syahmi Safari bagi memperkuatkan skuad kebangsaan bagi menghadapi saingan daripada anak-anak buah Stefan Tarkovic.

Diperkuatkan dengan bekas pemain import Kelantan United, Ernist Batyrkanov ia pasti menjadi ujian besar buat Pan-gon memandangkan penyerang Republik Kyrgyz itu mengenali corak permainan bintang-bintang Harimau Malaya.

Perlawanan pada Khamis bakal menjadi pertemuan kedua buat kedua-dua negara selepas kali terakhir pasukan pelawat berjaya menewaskan skuad kendalian Tan Cheng Hoe pada 2018.

Pemilihan Pan-gon kali ini lebih mendapat kritikan apabila memanggil pemain seperti Sumareh dan Syahmi yang dilihat tiada minit permainan yang mencukupi bersama kelab masing-masing.

Tetapi adakah anda tahu dua pemain itu pernah berhadapan dengan Republik Kyrgyz dan diletakkan sebagai kesebelasan utama pasukan.

Majoriti senaraikan tiga pemain-pemain Johor Darul Takzim (JDT) disenarai sebagai kesebelasan utama Harimau Malaya ketika menentang Republik Kyrgyz pada 2018.

Sumareh

Sumareh (tengah) ketika berhadapan asakan dua pertahanan Republik Kyrgyz di Stadium Hang Jebat pada 2018. — Facebook/FAM

1. Mohamadou Sumareh

Menjadi antara satu-satunya pemain naturalisasi dalam skuad kebangsaan pada 2018, Sumareh merupakan bintang yang bermula sebagai kesebelasan utama ketika menentang Republik Kyrgyz di Stadium Hang Jebat, Melaka lima tahun dulu.

Ketika itu, Sumareh cemerlang beraksi bersama Sri Pahang FC yang mana dia merekodkan lebih 1,800 minit permainan dengan empat jaringan serta 'assist' dalam 22 perlawanan.

Namun tahun ini, Sumareh hanya merekodkan 87 minit permainan dan hanya beraksi dalam empat perlawanan meskipun sudah memasuki penghujung musim saingan liga.

Kali terakhir Sumareh beraksi untuk skuad kebangsaan ialah pada kejohanan Piala Raja Thailand tahun lalu apabila dia bermain dalam pentas final sebelum tewas di tangan Tajikistan dengan sepakan penalti 0-3.

2. Muhammad Syahmi Safari

Tidak terkejut nama Muhammad Syahmi Safari disenaraikan menjelang kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 ini selepas Tengku Mahkota Johor (TMJ) mencadangkan namanya untuk dipanggil Kim Pan-gon berbanding Quentin Cheng.

Namun begitu anda pasti terkejut jika mengetahui bahawa Syahmi bermula sebagai kesebelasan utama ketika menentang Republik Kyrgyz lima tahun lalu.

Meskipun mempunyai nama-nama besar seperti Mahali Jasuli, Amirul Azhan dan Fazly Mazlan ketika itu, Tan Cheng Hoe lebih tertarik untuk menyenaraikan bekas pemain Selangor itu.

Lain pula kali ini, Syahmi mungkin hanya menjadi pilihan kedua Pan-gon selepas kedudukan Matthew Davies di posisi pertahanan kanan sangat sukar untuk digugat mana-mana pemain.

Hanya merekodkan lebih 334 minit permainan, adakah Syahmi boleh menjadi alternatif kedua buat Pan-gon jika mahu merehatkan Davies?

3. Mohd Shahrul Saad

Antara individu yang mempunyai pengalaman luas di peringkat antarabangsa selepas Aidil Zafuan untuk menjadi benteng pertahanan buat Harimau Malaya.

Kehadiran Mohd Shahrul Saad ke dalam skuad Harimau Malaya kali ini sedikit sebanyak dapat menutup kebimbangan penyokong selepas trauma dengan kesilapan Dominic Tan menjelang aksi final Pestabola Merdeka pada bulan lalu.

Sebelum ini, Shahrul terpaksa digugurkan kerana mengalami kecederaan serius ketika Malaysia berjaya mengikat pasukan China yang berada di ranking-79 dunia.

Walaupun tidak dapat minit permainan yang cukup bersama JDT, pemain berusia 30 tahun ini kekal konsisten apabila diturunkan dalam kesebelasan Harimau Malaya.

Bekas pemain Perak ini juga menjadi salah satu individu yang diturunkan Cheng Hoe sebagai kesebelasan utama ketika menentang Republik Kyrgyz pada 2018. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram