Aksi Harimau Malaya-Republik Kyrgyz sah kekal di Stadium Nasional Bukit Jalil, ramai berteka-teki status kualiti terkini padang


  • Podium
  • Sabtu, 04 Nov 2023

Harimau Malaya akan sekali lagi beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil meskipun ramai yang mempersoalkan kualiti padang ketika saingan Pestabola Merdeka tempoh hari. — Facebook/FAM

SELEPAS pelbagai spekulasi, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akhirnya telah mengesahkan yang perlawanan kelayakan Piala Dunia 2026-Piala Asia 2027 antara Malaysia dengan Republik Krgyz kekal diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil.

FAM mengatakan yang keputusan itu diambil selepas pemeriksaan padang dilakukan pada Khamis oleh Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Datuk Hans Isaac serta jurulatih Harimau Malaya iaitu Kim Pan-gon.

Dengan ini, perlawanan akan diadakan di Bukit Jalil mengikut jadual pada 16 November dengan sepak mula dijadualkan pukul 9 malam.

Keputusan untuk mengekalkan aksi di Bukit Jalil adalah atas dasar penilaian yang dibuat ke atas kualiti padang yang kini semakin baik.

Sebelum ini, rumput zeon zoysia di padang Bukit Jalil menerima kritikan hebat oleh penyokong apabila kualitinya tidak seperti diharapkan ketika kali pertama digunakan pada Pestabola Merdeka 2023.

Selepas diberikan lebih masa untuk menjadi matang, kini rumput tersebut dalam keadaan lebih baik dan dijangka akan lebih bersedia digunakan ketika aksi bertemu Republik Krgyz kelak.

Selain daripada itu, keputusan untuk mengekalkan aksi di Bukit Jalil adalah kerana permintaan Pan-gon sendiri.

Pengendali dari Korea Selatan itu sememangnya mahukan pasukannya beraksi di gelanggang yang bakal menimbulkan kegerunan setiap pihak lawan yang hadir dan Bukit Jalil adalah tempatnya.

Faktor lain yang diambil kira adalah kemudahan dari segi jaringan pengangkutan awam dan tempat letak kereta yang luas. Ia memudahkan penyokong untuk pergi dan balik daripada perlawanan yang akan diadakan pada hari Khamis itu.

Perlawanan menentang Republik Krgyz merupakan aksi pertama peringkat kelayakan buat Harimau Malaya.

Aksi seterusnya yang bakal diharungi skuad kendalian Pan-gon adalah dengan bertemu Chinese Taipei di tempat lawan pada 21 November. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram