PENGENDALI skuad Malaysia, Kim Pan-gon mensasarkan untuk menjadikan Harimau Malaya sebagai 18 pasukan terbaik di Asia dalam pusingan kelayakan Piala Dunia 2026-Piala Asia 2027.
Bercakap di sidang media menjelang perlawanan pembukaan menentang Republik Krgyz di Wisma FAM, Pan-gon mengatakan sasaran utama adalah untuk mara sehingga ke pusingan ketiga untuk mengintai peluang ke Piala Dunia.
"Setiap tahun, kita akan hadapi pelbagai perlawanan tetapi untuk Piala Dunia, ia cuma empat tahun sekali. Bagi saya, Piala Dunia yang dahulu dan kemudian barulah Piala Asia.
"Ia adalah satu cabaran besar buat kami untuk mara ke peringkat akhir kelayakan. Saya mahu menjadikan pasukan ini antara 18 terbaik di Asia," kata Pan-gon.
KPG mahu bawa Malaysia ke Piala Dunia.
Malaysia perlu menjadi dua pasukan terbaik untuk mara ke pusingan ketiga kelayakan. Dari situ, sebanyak 18 negara akan merebut lapan slot terus (direct slot) ke Piala Dunia dengan satu tempat lagi akan direbut dalam pusingan play-off antara benua.
Bercakap mengenai peluang untuk meraih tiga mata, Pan-gon mengatakan yang masih banyak perlawanan untuk diharungi dan mungkin kemenangan muncul pada waktu tak disangka.
Pengendali dari Korea Selatan ini tidak mahu terlalu yakin dengan peluang dimiliki Harimau Malaya kerana jika bersikap demikian, ia boleh memakan semula skuad kebangsaan.
"Terdapat enam perlawanan, kami tak tahu bila kami akan meraih kemenangan. Saya tidak pasti, tapi kami akan berusaha untuk mendapatkan kemenangan.
"Tapi secara logiknya, perlawanan menentang Republik Krgyz pada Khamis amat penting," ujar Pan-gon lagi.
Walaupun tidak terlalu terang menyatakan keyakinan, tetapi Pan-gon mengatakan yang Harimau Malaya mensasarkan untuk mendapatkan 12 mata dalam enam aksi kelayakan.
Sasaran ini dilihat realistik sebagai usaha memastikan kedudukan dua teratas dalam peringkat kumpulan akan terjamin.
Apa yang penting bagi Pan-gon, dia mahukan kerjasama yang erat daripada semua pihak untuk bersatu dan berusaha untuk mencapai kemenangan.
Pada hematnya, jika semua pihak bersatu maka kemenangan boleh diraih pada perlawanan pembukaan ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram