Jualan tiket HM ‘sendu’, ramai kecewa harga RM40 membebankan sebab tengah bulan


  • Podium
  • Selasa, 14 Nov 2023

Harimau Malaya akan turun menentang Republik Krgyz pada 16 November. — Facebook/FAM

MASA semakin hampir dengan perlawanan pertama pusingan kelayakan Piala Dunia 2026-Piala Asia 2027 melibatkan Malaysia dengan Republik Krgyz pada Khamis (16 November).

Perlawanan yang akan diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur itu menjadi pembuka jalan kepada peluang Harimau Malaya untuk beraksi di pentas Piala Dunia di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada pada 2026 dan juga temasya Piala Asia di Arab Saudi setahun kemudian jika layak.

Kemenangan di tempat sendiri amat penting sebagai usaha membina momentum sebelum bertemu Chinese Taipei pada 21 November kelak.

Sudah pasti, sorakan padu amat diperlukan dan Bukit Jalil memang terkenal sebagai gelanggang yang sukar untuk diharungi pasukan lawan kerana ekor Harimau Malaya.

Tetapi, nampak gaya sorakan padu itu mungkin akan sedikit kendur pada perlawanan bertemu Repulik Krgyz. Hal ini disebabkan faktor jualan tiket yang masih 'sendu' sehingga Selasa.

Menurut Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), hanya 5,944 tiket sudah terjual setakat 10 pagi Selasa. Jumlah tersebut jauh daripada jualan ideal untuk aksi sebesar itu.

Bagi majoriti penyokong, mereka menganggap harga tiket yang agak tinggi membebankan tambahan pula perlawanan diadakan pada pertengahan bulan.

FAM menetapkan harga tiket bermula daripada RM40 (terbuka), RM60 (granstand), RM80 (premium) serta RM5 (kanak-kanak 6-12 tahun) dan itu tidak disenangi penyokong Harimau Malaya.

"Antara faktor paling ketara adalah harga tiket RM40 terlalu berat untuk majoriti orang. Kalau perlawanan akhir, mungkin ramai faham. Sepatutnya FAM boleh jual (dalam) RM20-RM25 saja," kata penyokong bernama Shaiful Sazali.

"Kalau tiket harga RM30 rasanya boleh lagi sampai 20,000 (penyokong) paling kurang yang datang. Ini mahal sangat, maksimum entah dapat ke tak 10,000. Patut buatlah kira-kira dulu, sudahlah tengah bulan ni," kritik Sufian Roslee.

401454916_1043318996741336_4717979267462881999_n

Faisal Halim bakal membintangi Harimau Malaya sekali lagi. — Facebook/FAM

"Dah tahu macam tiada sambutan, FAM carilah jalan lain. Turunkan harga tiket. Walaupun tak boleh kurang banyak. Sedikit sebanyak boleh dapat sambutan," cadang Faez Paeh.

Walaupun jualan tiket dilihat perlahan, namun ia dijangka akan meningkat kerana kesetiaan penyokong terhadap Harimau Malaya.

Ditambah pula dengan tabiat orang kita yang suka membeli tiket pada saat akhir.

"Di saat akhir nanti ramai lerr," kata Ben Iskandar.

"Relax dulu, hari Khamis baru beli," ujar Roy James.

"Nak cecah 10,000 pun semput, ramai bangsa final ni," komen Zulid Idris Yusuf.

Haa anda dah beli tiket ke belum? Jika belum, mari zahirkan sokongan terhadap Harimau Malaya dengan mendapatkannya di sini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram