Bukan main-main, Hamidin optimis Harimau Malaya boleh baham Kyrgyzstan dan Taiwan


  • Podium
  • Selasa, 14 Nov 2023

Hamidin (kanan) mahu Harimau Malaya mara sejauh mungkin dalam kelayakan Piala Dunia 2026-Piala Asia 2027. — Facebook/FAM

PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin mempunyai keyakinan yang Harimau Malaya mampu untuk meraih keputusan positif dalam dua aksi pertama kelayakan Piala Dunia 2026-Piala Asia 2027.

Malaysia akan membuka kempen aksi kelayakan dengan bertemu Republik Krgyz pada 16 November sebelum menentang Chinese Taipei semasa 21 November.

Bercakap mengenai peluang skuad kendalian Kim Pan-gon dalam dua aksi tersebut, Hamidin mengatakan yang Harimau Malaya mampu untuk mengatasi dua negara tersebut sekali gus mengutip enam mata pertama dalam dua perlawanan.

"Kita usaha cukup tinggi dan pasukan ini boleh 'makan' Kyrgyzstan dan Taiwan, Oman pula 50-50 di Stadium Nasional Bukit Jalil. Ini merupakan ujian buat Kim Pan-gon memandangkan kita akan main di laman sendiri dan di luar pada pusingan kelayakan nanti.

"Kalau tanya saya, ada keyakinan 55 peratus. Sebagai presiden saya perlu yakin, ini bukan main-main tetapi semua kena buat kerja dari jurulatih, pegawai, pemain dan kakitangan. Bagaimanapun, itu semuanya dengan izin ALLAH," ujar Hamidin.

401349330_1043320490074520_5645805884655805849_n

Hamidin bertemu pemain Harimau Malaya di Wisma FAM. — Facebook/FAM

Harimau Malaya hasil kepimpinan Pan-gon telah mencapai peningkatan mendadak dalam masa setahun. Hasil daripada tunjuk ajar pengendali dari Korea Selatan itu, Malaysia telah berjaya layak ke Piala Asia secara merit dalam masa 43 tahun.

Malah, satu demi satu pencapaian berjaya dilakar terutamanya Harimau Malaya berjaya meraih dua keputusan seri menentang Syria dan China. Untuk rekod, kedua-dua pasukan tersebut berada di ranking 100 terbaik dunia.

Hamidin turut mencabar para pemain dan barisan kejurulatihan untuk mara sejauh boleh dalam pusingan kelayakan dengan harapan dapat mencipta kejutan mara ke Piala Dunia buat kali pertama.

"Saya dapat lihat apabila berdepan pasukan yang besar, semangat dan keyakinan pasukan negara lebih tinggi," kata Hamidin.

Oleh itu, Hamidin turut menuntut Harimau Malaya terus konsisten dalam memberikan aksi terbaik supaya lebih banyak kejayaan dapat dicipta.

Pan-gon dan Harimau Malaya perlu mensasarkan kedudukan dua terbaik dalam pusingan kelayakan kali ini supaya dapat mara ke peringkat seterusnya yang menawarkan tempat ke Piala Dunia 2026 dan jaminan slot Piala Asia 2027. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram