KEPERCAYAAN masih lagi utuh dan kuat buat pengendali Manchester United, Erik ten Hag oleh pengurusan tertinggi kelab tersebut.
Walaupun The Red Devils mengharungi permulaan sukar dalam musim mereka kali ini, tetapi United masih mampu untuk mendekatkan diri dengan kelompok atasan dalam English Premier League (EPL) apabila menduduki tangga keenam selepas 12 perlawanan.
Kritikan pedas boleh diberikan atas persembahan memalukan dalam UEFA Champions League (UCL) apabila United menduduki tangga terakhir kumpulan A dengan hanya mengutip tiga mata selepas empat perlawanan.
Dengan situasi tersebut, tidak mengejutkan jika sudah muncul usaha untuk membawa pengganti Ten Hag ke Old Trafford dengan nama seperti Zinedine Zidane menjadi sebutan.
Namun begitu, pengurusan United lebih memilih untuk teguh bersama-sama Ten Hag dan tidak mahu mendapatkan pengendali baharu dalam masa terdekat.
United menang 1-0 ke atas Luton Town. — Facebook/Manchester United
Menurut laporan ESPN, United sebenarnya telah didekati oleh sebuah ejen yang cuba membawa pengurus baharu bagi menggantikan Ten Hag.
Akan tetapi, pengurusan tertinggi kelab itu memilih untuk tidak mengadakan mesyuarat tersebut dengan alasan masih berasakan Ten Hag adalah orangnya bagi memberikan kejayaan terhadap United.
Pengurusan tertinggi United melihat situasi semakin baik di kem United selepas Ten Hag berjaya merakamkan kemenangan ke atas Fulham dan Luton Town.
Walaupun masih terdapat pelbagai masalah di luar padang seperti melibatkan Jadon Sancho serta kecederaan Rasmus Hojlund serta Christian Eriksen, United masih lagi berada dalam keadaan baik untuk mencabar kejuaraan.
United akan bertemu Everton dalam perlawanan EPL selepas rehat aksi antarabangsa iaitu pada 27 November. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram