NAMA K. Devan bukanlah asing dalam kancah bola sepak Malaysia. Untuk bertahun lamanya, Devan sudah berkecimpung dalam kancah bola sepak tempatan dan sebagai jurulatih telah memenangi pelbagai kejuaraan.
Devan telah mengendalikan pelbagai pasukan sebelum ini seperti Selangor FC serta PJ City FC. Terkini, dia bersama-sama Negeri Sembilan FC dengan masa depannya bersama skuad Jang menjadi tanda tanya menjelang penghujung musim.
10 tahun yang lalu, Devan pernah berkhidmat bersama-sama Penang FC. Apa yang menariknya, belum lagi namanya sah diumumkan sebagai pengendali Harimau Kumbang tetapi Devan sudah menerima respons positif oleh penyokong ketika itu.
Rata-rata penyokong menerima Devan dengan tangan terbuka dengan harapan dia dapat membawa Penang naik ke Liga Super. Ketika itu, Harimau Kumbang perlu beraksi di Liga Premier.
"Saya terkejut melihat ramai penyokong turun menyaksikan perlawanan pra-musim antara dua pasukan tempatan.
"Saya rasakan saya melakukan tindakan yang betul menyertai Penang FC kerana bola sepak di sini unik dan 'hidup'," kata Devan pada 2013.
Penang FC menamatkan saingan Liga Premier 2014 ditangga ketiga sekali gus gagal ke Liga Super 2015. — Agensi
Devan berkata demikian selepas bersama skuad Penang turun menentang Sungai Ara FC dalam aksi pra-musim dengan 1,500 penyokong menyaksikan perlawanan tersebut. Ketika itu, dia belum lagi menjadi pengendali Harimau Kumbang secara rasmi.
Ketika perlawanan itu diadakan di padang latihan Penang, Devan dibanjiri dengan ucapan "semoga berjaya" oleh pendukung Harimau Kumbang yang mahu melihat dia berjaya bersama-sama pasukan kesayangan mereka.
Usaha Devan untuk membawa Penang ke Liga Super tidak berhasil apabila pasukan itu menamatkan saingan Liga Premier di tangga ketiga di belakang PDRM dan FELDA United.
Maju ke 2023, Devan kembali menjadi sebutan dengan namanya disebut-sebut sebagai calon utama untuk mengendalikan Penang bagi saingan Liga Super 2024.
Dengan jawatan jurulatih diisi sementara oleh Akmal Rizal, ia menguatkan lagi spekulasi pengendali itu akan kembali ke Stadium Bandaraya, Georgetown.
Jika Devan benar kembali, dia mempunyai peluang kedua untuk menebus kekecewaan gagal membawa Penang kembali ke Liga Super satu masa dahulu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram