[VIDEO] Gara-gara kad merah, pengarah kelab Brazil hampir pecahkan pintu bilik VAR


  • Podium
  • Selasa, 14 Nov 2023

Nunes (kanan) berkelakuan ganas apabila mahu menceroboh masuk ke dalam bilik VAR dan membuat aduan terhadap pengadil.

PEMINAT bola sepak seluruh dunia pastinya tahu bahawa sukan tersebut dimainkan dengan cukup hangat di negara-negara Amerika Selatan, terutamanya Brazil.

Pandangan berkenaan dibuktikan apabila satu kes tular di negara berkenaan apabila staf dan kakitangan kelab ternama, Corinthians bertindak di luar kawalan.

Situasi tersebut berlaku dalam aksi Serie A Brazil antara kelab terbabit dengan Gremio dalam aksi di Arena do Gremio, Brazil pada Isnin.

Ia berikutan keputusan pengadil perlawanan, Rodrigo José Pereira de Lima enggan memberikan sepakan penalti buat Corinthians selepas pertahanan mereka, Bruno Mendez dijatuhkan.

Keadaan semakin tegang tidak lama selepas itu apabila bek tengah pihak pelawat, Bruno Mendez dibuang padang pada minit ke-10.

Keputusan berkenaan dibuat selepas pengadil melakukan semakan di skrin Video Bantuan Pengadil (VAR) dengan dia pada awalnya hanya diberikan kad kuning.

Ia kemudiannya menyebabkan kakitangan Corinthians bertindak menyerbu bilik pengadil pada separuh masa pertama dengan insiden berkenaan sempat dirakam seorang wartawan.

Dalam video berdurasi 30 saat itu, kelihatan pengarah kelab Brazil berkenaan, Alessandro Nunes turut berkelakuan sebegitu bersama beberapa staf lain.

Tidak cukup dengan itu, salah seorang petugas Corinthians turut bertindak berkelakuan kasar terhadap perakam sehingga terpaksa ditenangkan.

Bagaimanapun, pasukan berkenaan masih boleh bertenang pada hujungnya apabila mereka meraih kemenangan tipis ke atas Gremio dengan keputusan 1-0 hasil jaringan Angel Romero.

Malah, kemarahan mereka akan kad merah kepada Mendez turut ditenangkan dengan bek tengah lawan, Bruno Alves juga berdepan nasib demikian. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram