TIDAK boleh dinafikan bahawa kehadiran pemain import merupakan antara elemen penting untuk menyemarakkan lagi suasana kancah bola sepak tanah air.
Meskipun terdapat sebilangan daripada mereka yang kurang menyerlah, ada juga yang boleh dikatakan memiliki karier cukup baik dalam tahun-tahun perkhidmatan masing-masing dalam Liga Super.
Salah seorang yang boleh diletakkan dalam kategori itu ialah bekas penyerang Negeri Sembilan FC, Gustavo Almeida yang baru meninggalkan kelab Indonesia, Arema FC dengan menyertai Persija Jakarta secara pinjaman meskipun prestasi memberangsangkan dari pemain itu.
Ia sudah tentu mengejutkan penyokong bola sepak di Indonesia apabila Gustavo memilih untuk menyertai pihak lawan sehingga penghujung musim ini.
Dalam 16 perlawanan terakhir, penyerang kelahiran Brazil itu berjaya menjaringkan 14 gol bersama Arema meskipun pertama kali beraksi di Indonesia.
Mempunyai kontrak sehingga hujung musim ini, Majoriti senaraikan tiga pasukan wajar buru khidmat Gustavo untuk mempertajamkan serangan pasukan masing-masing pada musim depan:

Boakye sering mendapat kritikan daripada penyokong-penyokong Gergasi Merah dengan aksi hambarnya.
1. Selangor FC
Tinggal selangkah untuk menjamin tempat ke pentas Asia musim depan, Selangor wajar memburu Gustavo yang sudah terbukti dalam Liga Malaysia bersama UiTM FC dan Negeri Sembilan FC.
Tidak terhenti di situ, kini Gustavo menjadi bualan penyokong Indonesia yang kagum dengan prestasi semasanya meskipun baru pertama kali beraksi di Indonesia.
Umum mengetahui, penyerang import Selangor, Richmond Boakye kini mendapat kritikan daripada penyokong-penyokong Gergasi Merah dengan aksi hambarnya bersama pasukan itu.
Dengan status kontrak di Arema masih tidak jelas, ini peluang Tan Cheng Hoe untuk mengintai khidmat Gustavo bagi memperkuatkan barisan serangan musim depan.

Gustavo ke Perak akan memberikan tonik tambahan buat The Bos Gaurus.
2. Perak FC
Perak FC dalam landasan terbaik untuk kembali sebagai salah satu pasukan gergasi Liga Malaysia musim depan selepas merekodkan keputusan cemerlang dalam perlawanan Piala Malaysia 2023 apabila mara ke pusingan separuh akhir meskipun tidak dibarisi pemain-pemain berstatus bintang.
Yusri Che Lah berjaya mengembalikan kepercayaan penyokong untuk memenuhi Stadium Perak, Ipoh selepas permulaan aksi hambar awal musim ini dengan perancangan yang tidak menjadi oleh Datuk Lim Teong Kim.
Mungkin dengan kehadiran Gustavo ke Perak ia akan memberi tonik tambahan buat The Bos Gaurus untuk menjadi pasukan pencabar Liga Super.
Gandingan mantap bersama Luka Milunovic dan Seo Seon-ung pastinya memberikan pelbagai variasi buat Yusry Che Lah untuk mempelbagaikan taktikal semasa The Bos Gaurus menyerang ke kubu lawan.

Gustavo mungkin boleh menjadi salah seorang import terbaik yang dimiliki Penang FC.
3. Penang FC
Penang FC merehatkan ketua jurulatih, Chong Yee Fatt, dan penolong jurulatih, Manzoor Azwira Abdul Wahid, sehingga penghujung musim ini, demikian diumumkan kelab itu dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Ia jelas memberikan signal buat seluruh pasukan Liga M bahawa mereka akan kembali dengan lebih kuat musim depan apabila bakal melakukan rombakan besar-besaran.
Sudah sekian lama tidak mempunyai penyerang berbisa, Gustavo mungkin menjadi salah seorang import terbaik yang boleh dimiliki Penang FC.
Sejak dua musim kebelakangan ini, pihak pengurusan lebih gemar mencari pemain import dari Asia Barat namun tidak dapat memuaskan hati penyokong-penyokong Harimau Kumbang.
Dengar rekod 14 gol dalam 16 perlawanan, Gustavo mungkin menjadi solusi buat Penang untuk memecahkan kebuntuan jaringan gol. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
