Tak terima tawaran dari Indonesia, Hidalgo habiskan baki musim di bumi Darul Aman


  • Podium
  • Isnin, 13 Nov 2023

Hidalgo musim ini berjaya menjaringkan tiga gol dan melakukan 10 assists bersama Kedah. — Facebook/KDA FC

SEBELUM ini nama Manuel Hidalgo menjadi bualan penyokong bola sepak Indonesia selepas dikaitkan dengan beberapa buah pasukan di negara itu.

Pemain berusia 24 tahun itu antara tonggak utama Nafuzi Zain sejak dia mengambil alih skuad Sang Kenari awal musim ini.

Walaupun tidak mencatatkan rekod jaringan yang tinggi, Hidalgo telah melakukan 10 bantuan jaringan dalam 21 perlawanan terakhir Liga Super bersama Kedah musim ini.

Menurut laporan media Indonesia, Hidalgo menjadi perhatian tiga buah kelab yang beraksi dalam BRI Liga 1 iaitu PS Barito Putera, PSIS Semarang dan Madura United.

Dengan masalah dalaman yang sedang dihadapi oleh pihak pengurusan Sang Kenari, Nafuzi mungkin boleh kehilangan arkitek serangannya ke pasukan negara jiran.

Ia sekali gus memadam hasrat penyokong di negara ini untuk melihat Hidalgo beraksi lebih lama sekali gus dinaturalisasikan beraksi bersama Harimau Malaya.

Palatao Bola

Posting dimuat naik oleh @palatao_bola dalam Instagram.

Tetapi kini penyokong Sang Kenari boleh tersenyum dan menarik nafas lega selepas laman Instagram @palatao_bola memberi bahawa semua itu hanya khabar angin.

"Hanya khabar angin.

"Manuel Hidalgo terus fokus membantu Kedah menang semua baki perlawanan Liga Super, Madura United dan kelab Liga 1 tidak tawarkan kontrak," katanya.

Kedah Darul Aman FC iaitu majikan Hidalgo ketika ini bagaimanapun belum mengumumkan secara rasmi mengenai status Hidalgo untuk musim depan.

Sebelum ini, pengendali PSIS Semarang, Yoyok Sukawi tidak menyebut nama Hidalgo sebagai antara pemain kelab kendaliannya pada musim depan dan sebaliknya memberi petunjuk akan kekal menggunakan khidmat import sedia ada.

Musim ini PSIS Semarang sudah mempunyai enam pemain import iaitu Carlos Fortes (Portugal), Paulo Gali (Timor Leste), Taisei Marukawa (Jepun), Boubakary Diarra (Perancis) dan Lucao (Brazil).

"Kalau nanti kita bawa pemain baharu, sudah tentu seseorang itu perlu dinilai. Saya rasa di PSIS Semarang, enam pemain import kita semuanya telah memberikan sumbangan maksimum di posisi masing-masing," katanya memetik laporan Denpasar baru-baru ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram