[VIDEO] Gara-gara ejek penyerang Jeonbuk Hyundai, fans LCS mahu penjaga gol mohon maaf


  • Podium
  • Selasa, 14 Nov 2023

Antara aksi perlawanan di antara Jeonbuk Hyundai dan LCS pada Rabu. — Facebook/Lion City Sailors FC

GARA-GARA mengejek secara melampau penyerang Jeonbuk Hyundai Motors FC, Gustavo Henrique da Silva Sousa kerana tidak berjaya menyempurnakan sepakan penalti, penjaga gol Lions City Sailors (LCS), Zharfan Rohaizad digesa untuk membuat permohonan maaf.

Penyokong Singapura menerusi laman Instagram, @Tmsg01 meminta Zharfan untuk meminta maaf kepada penyerang kelahiran Brazil itu selepas dia dilihat mengajuk tingkah laku Gustavo yang dipercayai mengalami kekejangan selepas membuat sepakan penalti.

Dalam perlawanan itu, Jeonbuk terdahulu dihadiahkan sepakan penalti oleh pengadil lewat hujung permainan selepas bola terkena tangan pertahanan LCS.

Jeonbuk yang ketinggalan 0-2 di tangan LCS itu memerlukan jaringan penalti tersebut untuk meningkatkan moral pemain-pemain dari kelab Korea Selatan tersebut.

Namun Gustavo gagal menyempurnakan sepakan penalti tersebut selepas merembat bola dengan kuat melepasi palang penjaga gol tuan rumah.

Selepas rembatan deras itu, Gustavo kelihatan mengalami sedikit kecederaan pada kaki sebelah kanan dengan dia dilihat memegang paha dan berdiri terhincut-hincut akibat kaki tersepak rumput sintetik di Stadium Jalan Besar, Singapura pada Rabu lalu.

Dengan Gustavo yang mengalami kecederaan itu, Zharfan dilihat mengejek tindakan penyerang Brazil meskipun dia sedang menahan kesakitan.

Pemain-pemain LCS yang lain pula pergi melihat keadaan Gustavo yang terus ke tepi padang sambil cuba melihat kecederaan yang dialami oleh penyerang tersebut.

Tetapi tidak semua penyokong senada dengan @Tmsg01 apabila ada yang menyokong tindakan Zharfan untuk mengganggu psikologi pihak lawan.

Dalam perlawanan itu LCS berjaya mengutip tiga mata penuh dengan keputusan 2-0 sekali gus memberi nafas dalam Kumpulan F Liga Juara-Juara Asia (ACL). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram