Syahmi Safari sedia keluar dari bayang-bayang, mahu rampas semula tempat


  • Podium
  • Selasa, 14 Nov 2023

Syahmi kian bergelut untuk meraih minit permainan dengan lebih kerap bersama skuad kebangsaan. — Agensi

PEMAIN pertahanan negara, Muhammad Syahmi Safari berasakan sudah tiba masanya untuk dia ‘merampas’ tempat serta mengukuhkan nama dalam kesebelasan utama Harimau Malaya.

Menjelang aksi pertama Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Kyrgyzstan Khamis ini, Muhammad Syahmi atau lebih mesra disapa Syahmi Safari berkata, dia akan membalas kepercayaan jika diberikan peluang.

Bek kanan Johor Darul Takzim (JDT) itu berkata, setiap kali menyarung jersi skuad kebangsaan, dia akan memberikan komitmen sepenuhnya dalam membantu pasukan meraih kejayaan.

"Rasanya setiap pemain pun akan bagi 100 peratus terutama sekali bagi meningkatkan prestasi individu dan secara tak langsung (perkara itu) akan meningkatkan prestasi pasukan juga,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan skuad kebangsaan di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di Kelana Jaya, Selangor pada Selasa.

399633798_1043840103355892_2514734255740234668_n

Pemain Harimau Malaya sedang sibuk melakukan persiapan untuk dua aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027. Facebook/FAM

Sebelum ini, Syahmi Safari yang merupakan bekas pemain Selangor FC antara pilihan utama di bahagian pertahanan, namun lebih kerap menjadi pilihan kedua ketua jurulatih, Kim Pan-gon sejak pengendali dari Korea Selatan itu mengambil alih skuad kebangsaan.

Sementara itu, mengulas mengenai aksi menentang Kyrgyzstan, dia berkata, barisan pertahanan perlu berwaspada dengan kemampuan skuad bimbingan Stefan Tarkovic itu melakukan serangan pantas di bahagian sayap kanan dan kiri.

"Kami perlu lebih bersedia kerana pusingan kelayakan ini sangat penting terutama dari segi (menaikkan) ranking dan layak automatik ke Piala Asia," katanya.

Mengulas mengenai moral semasa pasukan, Syahmi menegaskan bahawa semua pemain dalam keadaan baik dan masing-masing menunjukkan komitmen tinggi dalam setiap sesi latihan.

Harimau Malaya akan menentang Kyrgyzstan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur sebelum berkunjung ke Taiwan untuk aksi kedua Kumpulan D menentang tuan rumah pada 21 November ini.

Selepas dua perlawanan bulan ini, Malaysia dijadual bertemu Oman di tempat lawan dan sendiri tahun hadapan, masing-masing pada 21 dan 26 Mac, Kyrgyzstan di gelanggang lawan (6 Jun) dan bertemu Taiwan (11 Jun) di Bukit Jalil. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram