KEKALAHAN yang diterima oleh Johor Darul Takzim II (JDT II) dalam perlawanan akhir Piala MFL telah menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan penyokong mereka.
Gol tunggal oleh Isa Raman cukup memberikan Terengganu FC II (TFC II) kemenangan sekali gus membolehkan skuad kendalian Hairuddin Omar status sebagai juara sulung Piala MFL.
Lebih memedihkan adalah JDT II tewas apabila mereka membawa dua pemain import daripada skuad utama iaitu Shane Lowry dan Oscar Arribas. Malah, mereka juga mempertaruhkan Endrick dos Santos dalam perlawanan tersebut.
Dengan tumbangnya JDT II, terdapat suara-suara yang mahukan pengendali iaitu Mariano Echeverria diketepikan dan membuka laluan buat orang lain.
Pada hemat penyokong Harimau Selatan, Echeverria tidak menghasilkan persembahan yang diperlukan malah jurang dilihat ketara antara JDT II dengan skuad utama.
Menggunakan corak permainan yang 'tidak sekufu' dengan skuad utama, ia memberikan gambaran JDT II masih lagi jauh ketinggalan jika hendak dibandingkan bersama pasukan utama Harimau Selatan.
Kelekaan sesaat Aysar Hadi berikan kejuaraan buat Terengganu FC II. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
"Tukar sajalah jurulatih JDT II, carilah yang konsisten sikit," kata penyokong menggunakan nama Jay Selatan.
"Elok tukar kepada jurulatih tempatan saja. Jurulatih yang ada sekaran pun biasa-biasa saja," ujar Halim Basir.
"Jauh berbeza JDT yang mengamalkan total football tapi JDT II mengamalkan hantaran jauh. Sepatutnya di JDT II sudah diserapkan taktikal total football, barulah senang diserapkan ke skuad utama," kritik Zuhaizuwan Ishak.
"Lebih baik JDT II ambil jurulatih tempatan macam Hairuddin Omar tu. TFC II guna Jordan Mintah seorang pun JDT II tak boleh nak kalahkan," komen Joe Zack.
Walaupun ada yang mengeji, tetapi masih terdapat penyokong berpendapat Echeverria perlu dikekalkan kerana usahanya berjaya membawa sehingga ke perlawanan akhir Piala MFL.
Pada mereka, baru kalah sekali tidak membawa kesan yang buruk kepada pasukan.
"Jangan begitu, baru kalah sekali apa salahnya, bagi (mereka) rasa. Cuma yang tak sedapnya pasukan serba mewah kalah dengan pasukan hasil 'jualan' keropok lekor je," kata Karim Fuad.
"Apa bising-bising ni semua salahkan jurulatih. Okaylah dia bawa sampai ke perlawanan akhir. Kita patut bersyukur, santai sudah. Bendan sudah lepas jangan dikenang, ingat bola tu bulat. Kalah menang adat permainan," ujar Hazley Fuzi.
Pertarungan antara dua jurulatih menyaksikan kemenangan memihak Hairuddin Omar — Facebook/JOHOR Southern Tigers
"Jangan marah kawan-kawan, adat permainan mesti ada menang dan ada yang kalah. Semua pasukan adalah terbaik," komen Abd Latif Abas. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram