DALAM bola sepak, pelbagai perkara kita akan belajar terutamanya sebagai pemain dan jurulatih.
Antaranya adalah taktikal bagaimana hendak memenangi sesebuah perlawanan selain aspek teknikal bagi memastikan kemahiran bermain bola sepak berada pada tahap terbaik.
Selain daripada itu, semangat kesukanan juga perlu diterapkan dalam kalangan pemain serta jurulatih untuk memastikan sesebuah perlawanan bola sepak berjaya dijalankan dengan baik.
Namun begitu, lain ceritanya di Pahang apabila sebuah pasukan mengambil perdekatan yang agak berlainan dalam menyatakan rasa tidak puas hati terhadap sesuatu yang berlaku.
Tular sebuah rakaman di Twitter (X), insiden yang dipercayai berlaku ketika pertandingan bola sepak bawah 12 tahun (B-12) yang diadakan di Stadium Darul Makmur, Kuantan telah menarik perhatian ramai.
Dalam pertandingan MICHQA Cup, sebuah pasukan yang sedang bertanding telah melakukan protes dengan hanya duduk sahaja sambil membiarkan lawan mereka membawa bola dan menjaringkan gol.
Tindakan itu dilakukan sebaik sahaja wisel ditiupkan oleh pengadil. Pasukan yang tersakiti itu kemudiannya melakukan sepak mula dan biarkan sahaja bola dicuri pemain lawan dengan mereka sehingga gol dihasilkan.
Menurut penjelasan yang diberikan di Twitter (X), protes tersebut dibuat kerana pasukan tersebut tidak berpuas hati dengan keputusan diberikan pengadil.
Dalam penjelasan tersebut, pengadil telah melakukan tiga kesilapan ketika membuat keputusan. Kesilapan pertama adalah pengadil memberikan sepakan penalti sedangkan kekasaran dilakukan berdekatan kawasan sepakan penjuru.
Kesalahan kedua adalah menafikan peluang pasukan tersebut dalam situasi satu lawan satu selepas mengatakan pemain berada dalam kedudukan ofsaid.
Dan terakhir adalah apabila pengadil tidak memberikan sepakan penalti sebaliknya sepakan percuma apabila bola terkena tangan pemain lawan dan secara jelas berlaku dalam kotak penalti.
Bantahan dilakukan selepas perlawanan dan pengadil tersebut mengaku ketiga-tiga kesalahan tersebut yang memberi kesan perjalanan pasukan tersebut dalam kejohanan tersebut.
Perkara ini sememangnya tidak sepatutnya berlaku dalam mana-mana peringkat bola sepak sekali pun. Pihak yang terlibat harusnya malu dengan apa yang berlaku. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram