BERITA duka menimpa pertahanan kanan Terengganu FC, Azam Azmi yang terpaksa melupakan peluang mewakili Harimau Malaya pada November ini.
Semua ini kerana, pemain berasal dari Pulau Pinang tersebut terpalit dengan kecederaan lutut yang berulang sekali gus membuatkan musimnya berakhir dengan lebih awal.
Kecederaan tersebut membuatkan Azam akan terlepas aksi bersama-sama Harimau Malaya pada November ini menentang Republik Krgyz (16 November) dan Chinese Taipei (21 November) bagi aksi kelayakan Piala Dunia 2026-Piala Asia 2027.
Oleh kerana itu, pengendali skuad kebangsaan, Kim Pan-gon terpaksa melakukan perubahan dengan menggugurkan Azam daripada skuad yang sudah berkumpul di Wisma FAM, Kelana Jaya bagi kem latihan pusat.
Bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Azam, Pan-gon memilih untuk mendapatkan pertahanan Sabah FC, Daniel Ting sebagai pengganti.
Ting yang sudah berada dalam senarai bersedia untuk panggilan kali ini, dipanggil oleh Pan-gon bagi mengimbang bahagian pertahanan kanan dan kiri dalam Harimau Malaya.
Dengan ketiadaan Azam, bahagian pertahanan kanan hanya tinggal Matthew Davies dan Syahmi Safari. Menerusi kehadiran Ting, Pan-gon dalam mengimbangi pertahanan kiri yang sebelum ini diisi oleh La'Vere Corbin-Ong.
Oleh itu, Ting telah mengimbangi pilihan di posisi pertahanan kanan dan kiri apabila terdapat dua pemain untuk dipilih Pan-gon.
Pan-gon dalam pengumumannya di laman Facebook Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) turut mendoakan agar Azam segera sembuh daripada kecederaan yang dihadapinya.
"Daniel menggantikan Azam Azmi Murad dari Terengganu FC yang hadir melapor diri, Jumaat lalu tetapi terpaksa dilepaskan, semalam selepas pemeriksaan doktor mendapati terdapat kebimbangan kecederaan pada lututnya.
"Semoga Azam cepat kembali sembuh dan seterusnya dapat dipanggil lagi pada kem latihan pusat Harimau Malaya yang akan datang," kata Pan-gon.
Oleh kerana itu, Azam akan terlepas baki aksi Liga Super bersama-sama skuad Penyu termasuklah perlawanan akhir Piala Malaysia menentang Johor Darul Takzim yang dijadualkan pada 8 Disember.
Malah, dia juga terpaksa melupakan pengembaraan Terengganu di peringkat Asia dalam saingan Piala AFC.
Semoga cepat sembuh, Azam Azmi! — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram