Senaraikan 2 bekas import Liga M, Brendan Gan tidak gentar perang psikologi Kyrgyzstan


  • Podium
  • Isnin, 13 Nov 2023

Brenda percayaa dia dan rakan sepasukan mampu memberikan aksi sengit menentang Kyrgyzstan. — Facebook/FAM

PERANCANG tengah Harimau Malaya, Brendan Gan mengakui tidak gentar untuk berdepan Kyrgyzstan pada pusingan kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Khamis ini.

Beliau berkata, biarpun perang psikologi dilancarkan Ketua Jurulatih Kyrgyzstan, Stefan Tarkovic membabitkan beberapa perkara, ia tidak mendatangkan kegusaran berikutan percaya akan kualiti dimiliki rakan sepasukan dalam mengekang kemaraan pasukan ranking ke-97 dunia itu.

"Kami hanya datang ke sini untuk menjalankan tugas. Kami perlu fokus terhadap apa yang kami mahu buat dan bagaimana kami mahu permainan kami,” katanya ketika ditemui pada latihan pusat di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya di Petaling Jaya, Selangor pada Ahad.

Sebelum ini, difahamkan Stefan mengeluarkan senarai nama pemain yang bakal membawa cabaran Kyrgyzstan untuk dua perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Malaysia 16 November dan menentang Oman pada 21 November.

WhatsApp Image 2023-11-13 at 11.05.36-2

Barisan pemain skuad kebangsaan ketika sesi latihan untuk menentang Kyrgyzstan pada Khamis ini. — Facebook/FAM

Senarai tersebut antaranya menamakan pemain yang pernah bermain di kancah Liga Malaysia iaitu Mirbek Akhmataliev (PDRM FC) dan Tamirlan Kozubaev (PKNS FC) yang difahamkan kononnya mempunyai maklumat akan kelemahan skuad negara.

Pasukan itu dalam perkembangan lain pula memaklumkan tidak akan menurunkan beberapa pemain utama mereka di saat-saat akhir berikutan kecederaan sebagai salah satu elemen dalam perang psikologi itu.

Skuad Harimau Malaya akan turun beraksi untuk perlawanan pertama Kumpulan D menentang Kyrgyzstan sebelum akan ke Taipei City bagi perlawanan kedua bertemu Taiwan pada 21 November.

Sementara itu, Jurulatih Kebangsaan Kim Pan-gon menerusi kenyataan FAM pada Ahad membuat keputusan memanggil pemain pertahanan kiri daripada Sabah FC, Daniel Ting yang sebelum ini berada dalam Senarai Bersedia untuk melapor diri ke kem latihan pusat.

Khidmat Daniel itu ditagih bagi menggantikan tempat Azam Azmi Murad daripada Terengganu FC yang terpaksa dilepaskan berikutan terdapat kebimbangan terhadap kecederaan pada lututnya selepas disahkan doktor. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram