Jurulatih basikal Sukma Terengganu maut ketika iring latihan pelumba di Kuantan


  • 112
  • Ahad, 12 Nov 2023

Muhammad Muslim yang menunggang motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. 

JURULATIH skuad berbasikal Sukan Malaysia (Sukma) Terengganu, Muhammad Muslim Marzuki maut akibat kemalangan ketika mengiringi latihan pelumba di Kilometer 52 Jalan Kuantan-Maran di Kuantan, Pahang pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, insiden dipercayai berlaku pada pukul 10 pagi dan Muhammad Muslim, 22, yang menunggang motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

photo1699797540

Keadaan motosikal dinaiki Muhammad Muslim selepas bertembung dengan lori dalam kejadian Kilometer 52 Jalan Kuantan-Maran di Kuantan pada Ahad.

"Siasatan awal mendapati motosikal mangsa telah hilang kawalan menyebabkan ia terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung dengan lori," katanya ketika dihubungi.

Difahamkan mangsa, yang beralamat di Bandar Permaisuri, Terengganu, mengiringi latihan pelumba dari Kuantan ke Temerloh semasa kemalangan itu berlaku.

Wan Mohd Zahari berkata, kemalangan itu yang berlaku berhampiran pondok polis Paya Bungor, menyebabkan motosikal dinaiki mangsa rosak teruk manakala lori terbabit yang dipandu lelaki berusia 43 tahun mengalami kerosakan di bahagian hadapan sebelah kanan.

401667683_10224528404097682_4606087846043444315_n

Muhammad Muslim sedang mengiringi latihan pelumba dari Kuantan ke Temerloh semasa kemalangan itu berlaku. — Facebook/AimieAfzan

Beliau berkata, mayat Muhammad Muslim dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan di Kuantan dan siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram