[VIDEO] Gelagat pemain TFC II dodoi, tidur bertemankan trofi Piala MFL cuit hati penyokong


  • Podium
  • Isnin, 13 Nov 2023

Tangkap layar Mintah dan Isa Raman tidur bersama trofi Piala MFL.

MUSIM 2023 menjadi tahun yang tak akan dilupai buat Terengganu FC (TFC) apabila skuad simpanannya, TFC II dinobatkan sebagai juara edisi sulung Piala Malaysian Football League (MFL selepas menundukkan Johor Darul Takzim II (JDT II) 1-0 dalam aksi akhir pada Sabtu.

Selepas berapa kali percubaan demi percubaan dilakukan oleh kedua-dua pasukan, akhirnya gol tunggal perlawanan terhasil menerusi pemain gantian skuad Sang Penyu, Muhammad Isa Raman pada minit ke-89.

Kemenangan itu pasti masih diraikan oleh barisan pengurusan, kejurulatihan dan pemain berikutan mereka adalah juara edisi pertama yang berhasil membawa pulang trofi sulung Piala MFL.

Cara barisan pemain TFC II meraihkan kemenangan juga mencuit hati penyokong apabila video memaparkan dua pemain TFC II iaitu Isa Raman dan penyerang import, Jordan Mintah yang mendodoikan trofi sulung mencuri tumpuan orang ramai.

Video dimuat naik di laman rasmi X Terengganu FC tersebut menunjukkan dua pemain itu dalam persediaan untuk tidur sambil mendodoikan trofi Piala MFL yang terletak di tengah-tengah mereka.

Malah, mereka juga menggunakan selawat sebagai bunyi latar belakang video berkenaan yang seakan-akan memberi maksud dua pemain berkenaan sedang mendodoikan Piala MFL seperti bayi baru lahir.

Gelagat dua pemain itu secara tidak langsung menunjukkan bahawa semua tonggak TFC II tidur nyenyak pada malam Sabtu selepas bertungkus-lumus mengalahkan kelab berpangkalan di Selatan tanah air itu.

Dalam pada itu, kejayaan TFC II itu juga membuktikan bahawa kualiti pemain muda negara jauh lebih baik apabila mereka hanya beraksi dengan seorang tonggak import, manakala JDT II menurunkan dua bintang import dari skuad utama.

Mariano Echeverria menurunkan pemain import dari Liga Super seperti bek tengah, Shane Lowry dan Oscar Arribas selain kehadiran Endrick dos Santos untuk membantu bahagian tengah.

Manakala, ketua jurulatih TFC II, Hairuddin Omar pula meletakkan kepercayaan kepada pemain import, Mintah untuk mengemudi serangan kelab Pantai Timur itu dalam pentas akhir Piala MFL itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram