[VIDEO] Rebah atas padang, bintang Ghana usia 28 tahun meninggal dunia akibat serangan jantung


  • Podium
  • Isnin, 13 Nov 2023

Tangkap layar rakaman video tersebut. — Agensi

BEKAS penyerang Ghana, Raphael Dwamena disahkan meninggal dunia selepas diserang sakit jantung ketika perlawanan Liga Albania antara KF Egnatia dan FK Partizani.

Persekutuan Bola Sepak Albania mengesahkan kematian Dwamena yang berusia 28 tahun itu akibat serangan jantung.

Menerusi satu perkongsian video di media sosial, ketika perlawanan berlangsung pada minit ke-24, pemain itu dilihat tiba-tiba rebah di atas padang.

Sejurus itu, pengadil perlawanan terus menghentikan aksi tersebut dan bergegas ke arah Dwamena yang tidak sedarkan diri.

Para pemain dan pasukan perubatan turut bergegas untuk memberi bantuan namun gagal menyelamatkan pemain berusia 28 tahun itu.

Perlawanan itu terpaksa dihentikan susulan insiden kematian pemain KF Egnatia dengan keputusan 1-1 dicetak dalam babak pertama perlawanan tersebut.

Sebelum ini, Dwamena pernah menjalani pembedahan jantung pada tahun 2020 bagi membolehkan dia meneruskan karier sebagai pemain bola sepak.

Untuk rekod, Dwamena merupakan penjaring terbanyak musim ini dengan sembilan gol dalam Liga Albania, membuat lapan penampilan untuk Ghana dan menjaringkan dua gol. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram