Sistem berubah antara faktor bangsa India kurang ceburi sukan bola sepak — Suba


  • Podium
  • Ahad, 12 Nov 2023

Legenda bola sepak negara, S. Subramaniam pernah membantu The Red Warriors (TRW) menjuarai pelbagai kejuaraan sepanjang perkhidmatannya. — Agensi

LEGENDA bola sepak negara, S. Subramaniam, tanpa berselindung menyuarakan sebab sebenar kaum India di negara ini sudah kurang penglibatan dalam sukan bola sepak.

Dalam satu wawancara rancangan Bola Itu Life kelolaan Astro Arena, Subramaniam berkata, sistem pembangunan bola sepak di negara ini sudah jauh berubah dan ibu bapa juga perlu menyedari apa yang perlu dilakukan seandainya mahu anak mereka terlibat dalam sukan berkenaan.

Ketika ditanya mengenai isu itu, Subramaniam berkata, soalan tersebut merupakan soalan yang terbaik setakat ini dan dia harus menjawabnya sebagai seorang bekas pemain berbangsa India.

"Saya menerima banyak soalan daripada peminat, ibu bapa berbangsa India, mereka bertanyakan kenapa pasukan kebangsaan sekarang tidak ramai pemain berbangsa India, adakah kerana mereka sudah tidak pandai main bola sepak?.

"Jadi saya jelaskan kepada mereka, segalanya sudah berubah, sistem dan perkembangan pemain sudah berubah.

"Kalau dahulu, pada zaman saya, jika saya bermain bagus di peringkat daerah, saya akan bermain untuk pasukan negeri Bawah 16 (B-16), kemudian saya akan menyertai B-19, kemudian B-21, pasukan Piala Presiden sehinggalah dapat menyertai pasukan utama (negeri).

"Tetapi kini zaman sudah berubah, sudah berbeza. Jika seorang pemain itu bagus, mereka perlu menyertai Pusat Latihan Daerah (PLD) pada usia 13 tahun," katanya.

Subramaniam

Kali terakhir Subramaniam aktif bermain bersama PJ City pada musim lalu.

Tambahnya lagi, dia turut bertanya kembali kepada ibu bapa berbangsa India, adakah mereka sudah menghantar anak-anak ke PLD tersebut.

"Saya tanyakan kembali kepada mereka, berapa ramai ibu bapa India menghantar anak mereka ke PLD, di mana dalam satu negeri sekurang-kurangnya ada 10 daerah dan setiap daerah ada PLD di sekolah menengah.

"Berapa ramai ibu bapa (India) yang menghantar anak mereka ke sana untuk mengembangkan bakat mereka? Itu persoalan yang timbul ketika ini.

"Ini kerana kualiti pemain peringkat umur di antara yang berlatih di PLD dan pemain yang berlatih di kampung-kampung amat jauh berbeza," kongsinya.

Subramaniam turut berkata, sekiranya dia adalah jurulatih, dia akan lebih memilih pemain yang mempunyai persediaan cukup dalam bola sepak.

"Sebagai contoh, saya sebagai jurulatih dan mahu memilih pemain untuk pasukan remaja Perak atau mana-mana pasukan negeri, saya akan lebih mengutamakan pemain yang betul-betul bersedia daripada segi teknikal, pengetahuan dan pemahaman taktikal dan faktor fizikal.

"Pemain yang lebih bersedia ini dari PLD, atau dari sekolah sukan negeri (SSN) atau dari AMD (Akademi Mokhtar Dahari).

"Kebanyakan pasukan elit dalam Liga Super akan mencari pemain muda dari tiga cabang ini.

"Jika tiada pemain India dalam tiga cabang ini, jumlah pemain India juga akan berkurangan," katanya.

Mengulas lanjut, Subramaniam berharap agar ramai ibu bapa akan memahami proses bola sepak kerana ia tiada kena-mengena dengan pemain India tidak diberikan peluang, bukan seperti itu.

"Ibu bapa India perlu sedar prosesnya sudah berubah dan inilah proses yang perlu dilalui untuk menjadi pemain kebangsaan," jelasnya. — Stadium Astro

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram