Bukan tak handal, 3 sebab JDT II 'terciduk' di tangan Hai O


  • Podium
  • Isnin, 13 Nov 2023

Antara aksi perlawanan antara JDT II dan TFC II pada Sabtu. — Facebook/MFL

TERENGGANU FC II (TFC II) mengesahkan status selaku skuad Bawah 23 tahun (B-23) terbaik musim ini selepas menjulang Piala MFL 2023 hasil kemenangan 1-0 ke atas Johor Darul Takzim II (JDT II) dalam aksi final pada Sabtu.

Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras menyaksikan pemain gantian TFC II, Isa Rahman menjadi wira apabila berjaya meledak jaringan tunggal perlawanan pada minit ke-89.

Selaku juara edisi sulung Piala MFL, skuad bimbingan Hairuddin Omar berada pada kelas tersendiri apabila meneruskan penguasaan selepas mengungguli Kumpulan A dan pada peringkat Juara Piala MFL sebelum ini.

Meskipun skuad bimbingan Mariano Echeverria diperkuatkan dengan empat pemain senior, namun masih gagal mengegarkan gawang anak-anak buah Hairuddin Omar atau dikenali dengan Hai-O yang rata-ratanya menurunkan kesemua pemain muda.

Umum mengetahui, JDT antara pasukan yang mempunyai barisan pemain berkualiti tidak kira skuad senior mahupun junior.

Kegagalan bergelar juara dalam Piala MFL bukanlah pengakhiran bagi skuad junior tersebut.

WhatsApp Image 2023-11-12 at 18.22.56

Jaringan tunggal Isa Raman bantu TFC II bergelar juara Piala MFL 2023. — Facebook/MFL

Dalam pada itu, berikut Majoriti menyenaraikan tiga sebab JDT II 'terciduk' di tangan Hai-O:

1. Chemistry JDT

Jika melihat kepada perlawanan tersebut, faktor utama JDT II tewas di tangan TFC II adalah disebabkan tiadanya 'chemistry' antara pemain muda JDT II.

Meskipun beraksi dengan beberapa pemain senior, JDT II bagaimanapun bergelut untuk mendapatkan rentak permainan.

Berikutan itu, pemain muda JDT II dilihat hanya mengharapkan khidmat pemain senior untuk mencetak jaringan.

2. Mindset TFC II

Sesebuah pasukan pastinya akan meraih kejayaan sekiranya 'mindset' yang positif sentiasa diterapkan dalam perlawanan.

Pastinya pengendali TFC II sudah memberi peringatan kepada anak-anak buahnya untuk memberikan 100 peratus tenaga ketika berdepan JDT.

Melihat kepada rekod Piala MFL musim ini, dalam empat perlawanan berdepan JDT II, TFC II hanya tewas sekali sahaja.

3. Semangat pemain muda

Meskipun digelar pemain muda, namun semangat yang ditampilkan oleh anak-anak buah Hai-O sangat luar biasa.

Semangat yang dahaga akan kemenangan akhirnya membuahkan hasil apabila bergelar juara Piala MFL 2023.

Walaupun mengetahui akan berdepan dengan beberapa pemain senior JDT, ia tidak melemahkan semangat TFC II untuk memberikan tekanan dalam aksi tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram