[VIDEO] Lepas tewaskan Terengganu, TMJ tunjuk 'passion' tendang bendera penjuru


  • Podium
  • Rabu, 18 Okt 2023

Kelakuan itu pernah tular di media sosial dengan penyokong bola sepak tempatan tertarik dengan gelagat TMJ.

SEMANGAT. Itulah salah satu kunci utama mengapa Johor Darul Takzim (JDT) boleh terus berkembang sepanjang berada di bawah pengurusan Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Idris.

Setelah diambil alih pada 2013, skuad Harimau Selatan tidak lagi menoleh ke belakang dengan kedudukan mereka kini sukar digugat mana-mana kelab tempatan lain.

Bagaimanapun, usaha tersebut pastinya sukar tercapai sekiranya TMJ tidak mempunyai semangat serta keghairahan setiap kali bercerita mengenai bola sepak.

Ia dapat disaksikan ketika dia berkongsi hala tuju kelabnya itu yang cukup jelas meskipun terpaksa berdepan segala cabaran dan rintangan.

Namun, sekiranya ditanya peminat bola sepak tanah air, momen yang sememangnya tidak boleh dilupakan mengenai semangat TMJ bersama JDT adalah ketika gelagatnya di atas padang pada Oktober 2014.

Gelagat TMJ kira-kira sembilan tahun lalu yang berjaya dirakam penyokong JDT.

Ketika itu, skuad Harimau Selatan baru sahaja meraih kemenangan penting ke atas Terengganu FA dalam suku akhir Piala Malaysia di Stadium Larkin, Johor dengan keputusan 3-1.

Teruja dengan catatan skor itu, TMJ mengambil keputusan turun ke atas padang di hadapan ribuan penyokong sendiri dan melakukan keraian ala-ala 'knee slide'.

Tidak cukup dengan itu, dia kemudiannya bertindak menendang sebatang tiang bendera penjuru dengan gelagatnya tersebut menghangatkan lagi keraian di stadium berkenaan.

Meskipun situasi berkenaan diterima baik penyokong JDT, segelintir pihak berasakan kelakuan berkenaan adalah untuk memalukan peminat skuad Sang Penyu.

Perkara itu kemudiannya dijawab TMJ yang menegaskan bahawa dia tidak dapat menahan keterujaannya selepas melangkah ke separuh akhir Piala Malaysia.

Kemaraan mereka tidak terhenti di situ apabila skuad Harimau Selatan berjaya mengorak langkah ke pentas akhir Piala Malaysia 2014 setelah menyingkirkan Felda United di peringkat separuh akhir.

Namun, ia masih belum cukup buat JDT setelah mereka tewas di perlawanan akhir kepada Pahang FA dalam penentuan sepakan penalti di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram