PARA pemain di negara kita ini sebenarnya berbakat kerana jika dilihat pada kualiti yang ada tidak mustahil untuk mereka dapat beraksi dalam saingan bola sepak serantau.
Baik di Indonesia, Thailand atau Singapura, Malaysia boleh mengeksport bakat-bakat yang ada supaya mereka dapat menikmati bagaimana suasana bola sepak di luar negara ini.
Mungkin saingan bola sepak di Asia Tenggara tidaklah sehebat yang ada di Korea Selatan, Jepun atau Arab Saudi. Tetapi, ia tetap mempunyai pengikut fanatik serta kualitinya tersendiri.
Maka tidak hairanlah, ada pemain kita yang kini dirisik untuk dibawa beraksi ke salah sebuah saingan paling meriah di Asia Tenggara.
Penyerang naturalisasi kebangsaan, Sergio Aguero kini dikatakan bakal membawa diri ke Indonesia untuk menyertai kelab gergasi di sana iaitu Persija Jakarta.
Menurut wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, Aguero yang kini bermain untuk Sri Pahang FC kini dalam proses dilamar oleh Persija bagi menguatkan pasukan tersebut.
Aguero sering dipanggil ke skuad Harimau Malaya sejak dinaturalisasikan — Facebook/FAM
Untuk rekod, Persija kini sedang mengalami kemorosotan prestasi dalam saingan Liga 1 Indonesia. Dalam 15 perlawanan setakat ini, skuad kendalian Thomas Doll hanya menang empat, seri lapan dan tiga kalah menjadikan cuma 20 mata sahaja dipungut.
"Sergio Aguero bakal tinggalkan Liga Malaysia. Pemain naturalisasi negara itu difahamkan mendapat tawaran menarik (dari) Persija Jakarta," kata Zulhelmi di laman Twitter (X).
Selain itu, pemain yang dilahirkan di Argentina ini sebenarnya sedang diburu oleh sebuah pasukan yang berpangkalan di Lembah Klang. Sama ada Kuala Lumpur City FC, Selangor FC atau PDRM FC ia masih menjadi tanda tanya.
Melihat kepada situasi ini, Persija nampaknya ingin menggunakan DNA Malaysia untuk memajukan pasukan. Hal ini kerana, kelab tersebut turut dikaitkan dengan cubaan mendapatkan pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee sebagai pengganti Doll.
Nampak gaya, usaha Aguero untuk belajar bahasa Melayu mula memberikan manfaat. Pemain tersebut boleh bertutur dalam menggunakan bahasa Melayu apabila beraksi di sana. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram