[VIDEO] Dari takraw ke bintang HM, Aliff Haiqal bangga pencapaian Afro mula dari bawah


  • Podium
  • Rabu, 18 Okt 2023

Sharul Nazeem dianggap antara pertahanan tengah muda terbaik di Malaysia ketika ini. — Facebook/Selangor FC

SETIAP pemain bola sepak melalui jalan yang berbeza-beza dalam karier mereka. Ada yang mempunyai perjalanan yang singkat menuju puncak tetapi terdapat pemain perlu mengharungi laluan berliku untuk berjaya.

Ada juga yang terpaksa bermain dengan penuh kesukaran, dihantui pelbagai kecederaan hinggakan terpaksa bersara awal. Malah, ada yang bermula dengan gemilang sebelum satu kesilapan memusnahkan segalanya.

Dalam kancah bola sepak tempatan, pemain melalui pelbagai cerita dalam karier mereka untuk berjaya. Sebagai contoh, pertahanan Selangor FC iaitu Sharul Nazeem tidak terus menuju ketinggian yang dilaluinya sekarang dalam kariernya.

Hal ini kerana, pemain yang mesra digelar Afro ini melalui pelbagai liku sebelum berjaya menembusi skuad utama Selangor dan kini merupakan sebahagian daripada barisan pertahanan Harimau Malaya.

Sharul-Nazeem-Zulpakar-Selangor-FC-2

Sharul sering menjadi pilihan untuk digandingkan di bahagian pertahanan tengah Selangor.

Dalam siri What The Podcast terbitan Selangor FC, rakan sepasukan Afro iaitu Aliff Haiqal mendedahkan bagaimana segala susah payah diharungi pertahanan tengah itu kini sedang membuahkan hasil.

Dalam video yang disiarkan di Twitter (X), Haiqal yang melihat perjalanan karier Afro daripada awal lagi begitu bangga dengan pencapaian yang telah dimilikinya sekarang.

"Saya rasa bangga dengan dia. Dia bergerak dari bawah sampai ke atas. Sebab dia tak macam saya, saya berasal dari sekolah sukan yang mana sudah ada perancangan dari muda, main di kelab.

"Tapi kalau dia, dia sekejap main ping-pong, sekejap main takraw, sekejap itu ini. Bila kita dengar perjalanannya untuk menjadi pemain profesional ni memang membanggakan kerana dia bermula dari liga sosial kemudian ke Piala Belia, Piala Presiden, Selangor FC 2 dan Selangor serta pasukan kebangsaan," kata Haiqal.

Melihat kepada usaha keras Afro itu, tidak hairan jika Haiqal mengatakan yang pemain tersebut merupakan salah seorang pertahanan tengah terulung di Malaysia ketika ini.

Sebelum disunting Gergasi Merah, Afro pernah beraksi bersama-sama pasukan seperti Marcerra United dan NPNG dalam saingan amatur di Kuala Lumpur dan Selangor.

Sementara Haiqal pula merupakan produk Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail di Bandar Penawar, Johor dan pernah menyertai program realiti Mencari Ramli bersama-sama rakan sepasukan, Faisal Halim. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram