Pemain kelab Eropah dilarang bermain, berlatih sebab sokong Palestin secara terbuka


  • Podium
  • Rabu, 18 Okt 2023

Anwar El Ghazi digantung daripada berlatih dan beraksi untuk Mainz. — Agensi

PADA waktu sekarang, semakin sukar untuk mana-mana pemain yang pro-Palestin menzahirkan sokongan mereka terhadap negara tersebut.

Hal ini kerana, jika dilakukan secara terbuka, mereka pastinya akan menerima tindakan tegas daripada pihak kelab yang dilihat tidak sehaluan dengan pendirian pro-Palestin dan lebih memihak kepada wilayah haram Israel.

Perkara ini berlaku kepada pemain di sebuah kelab Bundesliga apabila Anwar El Ghazi telah digantung tugas kerana secara terbuka menyokong perjuangan Hamas dalam membebaskan Palestin di media sosialnya.

El Ghazi yang bermain untuk Mainz telah digantung tugas dengan bekas bintang Aston Villa itu dinafikan haknya untuk turun berlatih bersama-sama rakan sepasukan yang lain.

Former-Lille-player-Anwar-El-Ghazi-suspended-by-Mainz

El Ghazi bakal terlepas aksi Bundesliga kerana hukuman terhadapnya. — Agensi

Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Mainz, mereka memilih untuk menjauhkan diri daripada El Ghazi kerana tindakannya tidak menepati nilai budaya yang diamalkan kelab tersebut.

"Sebelum keputusan diambil, pihak kelab dan pemain telah mengadakan sesi perbincangan yang mendalam mengenai perkara ini. Mainz sentiasa menghormati perbezaan pendapat dalam isu di Asia Barat yang dilihat cukup kompleks dan sudah berlarutan untuk berdekad lamanya.

"Namun begitu, kelab memilih untuk menjauhkan diri daripada kandungan media sosial (oleh El Ghazi) yang dianggap tidak selari dengan nilai kelab," kata Mainz.

El Ghazi kemudiannya memadam semula kandungan tersebut selain daripada digantung berlatih serta bermain dalam perlawanan melibatkan Mainz. Namun begitu, pihak kelab tidak memberitahu berapa lamakah hukuman tersebut dijalankan.

Sebelum ini, seorang lagi pemain kelab Jerman iaitu Noussair Mazraoui menerima nasib yang hampir serupa apabila Bayern Munich tidak senang dengan kandungan pro-Palestin di media sosialnya.

Pengurusan kelab gergasi Jerman itu memilih untuk mengadakan sesi pertemuan dengan pemain tersebut sejurus Mazraoui kembali pulang daripada tugasan antarabangsa bersama-sama Maghribi.

Tindakan yang dilakukan oleh Bayern itu mendapat kecaman hebat penyokong bola sepak hinggakan terdapat tanda pagar #WeStandWithMazraoui di laman Twitter (X). — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram