'Sebab boleh dik' antara 4 selebriti yang pernah sarung jersi sebagai pemain bola sepak


  • Podium
  • Ahad, 29 Okt 2023

Azri (kanan) pernah menjadi anak didik kepada Bojan Hodak.

MENJADI pemain bola sepak ketika ini merupakan salah satu kerjaya yang dilihat mempunyai prospek besar sekiranya individu itu layak bermain pada tahap tertinggi seperti bintang dunia mahupun tempatan.

Kisah-kisah individu yang hampir menjadi pemain bola sepak sebelum memilih untuk memfokuskan diri dalam bidang yang jauh berbeza daripada cita-cita asal mereka.

Tahukah anda kisah beberapa individu terkenal dalam negara kita hampir-hampir menceburi bidang profesional menjadi pemain bola secara serius?

Majoriti 7 menyenaraikan empat individu yang dikenali ramai pernah mewakili skuad kebangsaan dan beberapa pasukan gergasi dalam Liga Malaysia:

Fizo Omar

Fizo pernah beraksi untuk Perlis FA dalam Liga Super 2004.

1. Fizo Omar (Pelakon)

Fizo Omar lahir pada 19 Julai 1985 di Kota Bharu, Kelantan dan memiliki Diploma Kejuruteraan Awam, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau, Perlis.

Dia merupakan anak kedua daripada empat beradik serta mempunyai darah campuran Melayu, Siam dan Arab.

Untuk info, pelakon popular itu ialah bekas pemain bola sepak Perlis FA dalam Liga Super 2004 yang mana dia turut berada dalam skuad final Piala Malaysia menentang Kedah Darul Aman FC (KDA FC).

Sejak zaman sekolah Fizo aktif bermain bola sepak sehingga mewakili negeri kelahirannya dan sempat beraksi untuk Malaysia.

Bagaimanapun, selebriti berusia 38 tahun itu terpaksa melupakan hasrat bermain bola sepak apabila memilih aktif dalam bidang lakonan.

Zulhelmi Zainal

Zulhelmi sering dijadikan rujukan oleh peminat bola sepak negara.

2. Zulhelmi Zainal Azam (Wartawan)

Jika disebut nama Zulhelmi Zainal Azam pasti ramai mengenali figura itu, yang kini bertugas sebagai wartawan sukan bersama Astro Arena.

Bagi peminat bola sepak, Zulhelmi sering menjadikannya sebagai rujukan khususnya berkaitan perkembangan semasa dan juga berita perpindahan pemain khususnya menerusi laman sosial X @zulhelmizainal1.

Tanpa sedar figura inilah yang menjadi antara yang terawal kepada pembabitan atlet dalam bidang penyiaran seperti yang sering dipraktikkan masa kini.

Mengimbau semula perjalanan karier, Zulhelmi sebenarnya adalah bekas pemain bola sepak untuk pasukan belia Selangor dan pernah muncul sebagai rakan sepasukan bekas kapten Harimau Malaya, Safiq Rahim dalam beberapa pertandingan ketika mewakili negeri kelahirannya.

Selain bermain bola sepak, Zulhelmi juga pernah beraksi untuk skuad futsal Malaysia B-21 tahun sebelum membuat keputusan untuk aktif dalam bidang kewartawanan.

Azri Walter

Azri terkenal dengan ucapan 'sebab boleh dik'.

3. Azri Walter (Pempengaruh)

"Sebab boleh dik".

Pastinya anda pernah terdengar perkataan itu setiap kali ada orang bertanyakan bolehkah anda melakukan sesuatu perkara itu.

Ya, ungkapan perkataan itu datang dari pempengaruh media sosial, Azri Walter yang sering memuat naik video memberi kata-kata semangat buat orang ramai untuk menghadapi cabaran kehidup di negara ini.

Sebelum bergiat aktif di media sosial, Azri sempat beraksi bersama pasukan Selangor di kancah Liga Super.

Ketika remaja dia pernah mewakili Malaysia menyertai Kelayakan Piala Dunia Remaja, kejohanan Nike Cup Asia Pacific, dan menjadi juara Piala Belia bersama pasukan Selangor.

Dia juga mewakili Malaysia dalam bola sepak untuk kejohanan AFC B-17 Championship pada tahun 2004.

Firdaus Wong

Wong sering mendedahkan kisah gangguan seksual melibatkan individu terkenal.

4. Firdaus Wong (Pendakwah Bebas)

Tidak dinafikan nama pendakwah terkenal Firdaus Wong kini antara yang menjadi sebutan berhubung dengan pendedahahan kisah gangguan seksual melibatkan individu terkenal.

Bagaimanapun, ramai yang tidak mengetahui bahawa sebelum memeluk agama Islam dan menjadi pendakwah, Firdaus sebenarnya merupakan seorang pemain bola sepak.

Perkara itu pernah dikongsikannya dalam media sosial pada 2021 yang mana dia menunjukkan pas pemain ketika mewakili skuad kebangsaan dalam dalam Kelayakan Piala Asia Bawah-20 Tahun (B-20) pada 2002.

Antara pemain yang membarisi skuad itu adalah Safee Sali, Fadzli Saari dan Sani Anuar Kamsani.

Ia bukanlah kali pertama pendakwah bebas itu beraksi untuk Harimau Muda apa dia juga pernah beraksi untuk skuad B-17 tahun untuk kelayakan Piala Asia B-17 di Myanmar pada 1998.

Pasukan yang pernah diwakilinya adalah Kuala Lumpur dalam Kejohanan Piala Nike 1998. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram